‘Cakap baik-baik dengan orang kaya’; 2 wanita didenda buat kenyataan hina pegawai NEA

|

views

SINGAPURA: Selepas ditangkap menyalakan rokok di luar Kawasan Dibolehkan Merokok (DSA) di Orchard, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen menghamburkan komen kasar terhadap seorang pegawai penguatkuasa. Mereka meminta pegawai itu “bercakap baik-baik dengan orang kaya” dan memanggil pegawai itu “perempuan gila”.

Kedua-dua wanita Singapura berusia 50 tahun itu masing-masing didenda S$3,000 pada Rabu (8 Sep) selepas mengaku bersalah menganggu seorang penjawat awam.

Mahkamah diberitahu kedua-dua rakan itu merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.

Cik Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai pegawai penguat kuasa, sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerja apabila beliau ternampak Chee dan Koh merokok di luar kawasan ditetapkan.

Kedua-dua pegawai itu menghampiri wanita tersebut dan meminta butiran mereka untuk mengeluarkan saman.

Ketika Cik Asyikah memasukkan butiran Chee ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, Chee berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa.”

Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.

Koh yang kemudian menurut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”

Dia juga menuduh Cik Asyikah “gadis gila” yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.

Chee kemudian mengeluarkan sekeping nota S$1,000 dan melayangkan di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut.

Semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Cik Asyikah.

Pegawai Pendakwa Negara Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu. Beliau memberitahu mahkamah serangan lisan “meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa”, yang sekadar menjalankan tugasnya.

Kedua-dua wanita berkenaan, yang tidak diwakili peguam, berkata dalam mengemukakan rayuan bahawa mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.

Chee berkata, melalui seorang jurubahasa, bahawa Cik Asyikah “tiba-tiba berjalan ke arah saya jadi pada ketika itu, saya tidak tidak tentu arah”.

Chee menambah dia seorang ahli perniagaan dan amat tertekan akibat pandemik COVID-19.

Apabila Hakim Daerah asbendar Kaur bertanya Koh mengapa kawannya melayangkan nota S$1,000, Koh berkata mereka menyangka boleh membayar saman pada ketika itu juga. Dia mendakwa pernah ditangkap membuang puntung rokok sebelum ini dan membayar denda S$300.

Dakwanya lagi ada dua lelaki lain yang merokok di luar kawasan yang dibenarkan tetapi Cik Asyikah “melepaskan mereka begitu sahaja”.

“Sebab itu saya menggunakan bahasa seperti ini. Saya juga tidak suka menggunakan bahasa begini.”

Hakim memberitahu mereka bahawa isu tekanan bukannya alasan untuk mereka berkelakuan sedemikian.

Kedua-duanya boleh didenda sehingga S$5,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

– TODAY/FZ/fz

Berkaitan ⇢