Pengusaha restoran, katering gusar harga ayam naik, perniagaan bakal terjejas

|

views

KUALA TERENGGANU – Pengusaha restoran dan katering gusar dengan peningkatan mendadak harga borong ayam sehingga RM8 sekilo, yang boleh menjejaskan perniagaan sekiranya berlarutan.

Majoriti mereka mendakwa menanggung kerugian dan tidak mempunyai pilihan, selain terpaksa mengurangkan pekerja kesan daripada kenaikan harga ayam itu.

Pemilik kedai makan Mat Ori Corner, Muhammad Harun, 46 menyifatkan nasib mereka tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga kerana terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga bahan mentah terbabit, selepas sekian lama dibebani pandemik COVID-19.

Muhammad berkata, peniaga buntu dengan situasi tersebut kerana kenaikan harga ayam itu bukan berlaku ketika musim perayaan.

“Saya ada dua cawangan kedai, kalau dulu sebelum COVID-19 saya ada 40 pekerja tapi disebabkan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sejak tahun lepas, saya terpaksa kurangkan sehingga 30 pekerja.

“Sekarang harga ayam pula naik tapi saya tak boleh naikkan harga menu, jadi terpaksa kurangkan lagi pekerja sehingga tinggal lima orang sahaja,” katanya di sini.

Pemilik kedai makan TY Cafe, Thoibah Abdul Aziz pula mengharapkan kerajaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) segera campur tangan untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Pada awal hingga akhir Ogos, harga masih dalam lingkungan RM5 hingga RM6 tapi sekarang naik sehingga RM7 dan kadang-kadang sampai RM8.

“Jadi kita bimbang harga akan naik lagi dan beri kesan kepada harga jualan,” katanya.

Pemilik restoran dan katering Sharifa Mariam Shariff Along, 42 pula berkata, keadaan itu memaksanya mendapatkan bekalan dari Kelantan sebagai alternatif.

Beliau turut meluahkan kekecewaan dengan situasi tersebut yang menyebabkan nasib mereka semakin terhimpit.

“Saya terpaksa pergi jauh ambil bekalan di Kelantan, kerana harga kalau beli borong dalam RM5 sekilo masih lagi rendah.

“Memang kami rungsing sangat sebab nak naik harga makanan tak boleh, nanti tak ada pelanggan yang nak datang,” katanya.

Sharifa Mariam juga merayu kerajaan dan pihak berwajib untuk segera menyelesaikan isu tersebut dan membantu peniaga yang semakin terhimpit.

Sementara itu, KPDNHEP negeri berkata, siasatan lebih terperinci akan dilakukan untuk mengetahui punca kenaikan harga ayam secara mendadak itu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, hasil pemeriksaan KPDNHEP di 18 premis pasar basah, empat premis hypermarket dan 24 pasar raya di seluruh Terengganu mendapati, berlaku kenaikan harga jualan runcit mencecah sehingga RM10 sekilogram.

“Dakwaan peniaga menyatakan, kenaikan harga ayam berlaku disebabkan pengurangan bekalan di peringkat ladang serta peningkatan kos pembekal dan ladang.

“Namun pemeriksaan lanjut sedang dijalankan pada peringkat rantaian pembekalan untuk mendapatkan maklumat harga dan kos serta disiasat dibawah perundangan percatutan,” katanya.

Tambahnya lagi tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang cuba mengambil kesempatan dalam situasi tersebut. – Getaran, 8 September 2021

Berkaitan ⇢