Lelaki skizofrenia mengaku bersalah campak tulang babi mentah ke arah balkoni masjid

|

views

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 57 tahun, yang langsung tidak mengambil ubat-ubatan diberikan untuk merawat masalah skizofrenia paranoid yang dialaminya, mengaku bersalah di Mahkamah Negara hari ini (9 Sep) atas satu tuduhan menganggu ketenteraman awam awal tahun ini, dengan mencampakkan tulang babi mentah ke arah sebuah balkoni masjid.

Lim Beng Wei juga dikenakan dua tuduhan lain – satu berkaitan dengan perbuatan melemparkan mentega pada tembok Muzium Kotak Muzik Singapura – yang akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman pada 13 Oktober.

Mahkamah Daerah Kessler Soh mengarahkan agar satu laporan diadakan untuk menilai sama ada lelaki itu layak untuk menjalani perintah rawatan wajib – iaitu pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang menderita masalah mental sehingga menyumbang kepada perbuatan jenayah.

Sebagai sebahagian daripada pilihan hukuman itu, pesalah perlu menjalani rawatan dengan seorang ahli pskiatri yang dilantik mahkamah selama tiga tahun.

Lim pertama kali didiagnosis dengan skizofrenia paranoid pada 1998 dan dinilai sebagai mengalami masalah itu berulang kali – pada 2011 serta 2018.

DAKWA DIA DISAMPUK

Mahkamah diberitahu bahawa pada pagi 14 Januari lalu, Lim membeli sepaket tulang babi mentah dari cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Tanjong Pagar.

Dia kemudian pergi ke Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street, yang terletak berhampiran Muzium Kotak Muzik Singapura.

Apabila dia sampai di masjid tersebut sekitar pukul 11.00 pagi, dia berdiri di luar dan mencampakkan satu tulang babi mentah itu ke arah tingkat dua balkoni masjid.

Sekitar dua jam kemudian, polis menerima panggilan daripada seorang kakitangan muzium yang mengadu seseorang melempar mentega pada tembok luar muzium berkenaan.

Apabila para pegawai polis melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kamera-kamera berhampiran kedua-dua bangunan itu untuk mengenal pasti siapa yang melemparkan mentega, mereka melihat Lim berjalan ke arah masjid dengan satu beg plastik putih beberapa jam sebelum itu.

Dokumen mahkamah menunjukkan Lim mencampakkan satu lagi tulang babi mentah di masjid yang sama dua hari sebelum insiden tersebut.

Pada 2019, dia dikenakan perintah rawatan wajib selama dua tahun kerana memecahkan panel kaca pada lif di kejiranannya kerana mempercayai ia menyimpan roh jahat.

Meskipun dia menghadiri secara kerap janji temu pesakit luar, dia mengadu mengalami kesan sampingan daripada suntikan yang diambilnya untuk merawat skizofrenia dan kemurungan. Dia kemudian mula mengambil hanya ubat-ubatan yang perlu dimakan.

Seorang ahli psikiatri mendapati masalah skizofrenia lelaki itu berulang ketika melakukan kesalahannya. Gejala psikotiknya menyumbang kepada tindakan itu dan dia mengaku hanya mematuhi sebahagian arahan semasa mengambil ubat-ubatannya.

Bagaimanapun, dia bukan tidak waras dan menyedari jenis serta kesan tindakannya, jelas ahli psikiatri itu.

Hari ini, Lim – yang bebas dengan ikat jamin – mendakwa dirinya disampuk dan terpaksa membela dirinya. Peguamnya, Lim Yong, bersetuju dengan pihak pendakwa bahawa satu laporan perintah rawatan wajib perlu disediakan.

Mereka yang didapati bersalah mengganggu ketenteraman awam boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

– TODAY/FZ/fz

Berkaitan ⇢