Segera pindah ke pusat pengasingan

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN 8 SEPT – Kementerian Kesihatan hari ini mengeluarkan arahan pemindahan segera bagi orang-orang yang positif COVID-19 dan sedang dikuarantin di rumah serta bersiap sedia memasuki pusat-pusat pengasingan yang disediakan bagi pemantauan dan rawatan.

Orang positif ini juga diseru untuk tidak meminta kelonggaran atau menunggu ahli keluarga lain yang masih menunggu keputusan ujian swab kerana telah pun dimaklumkan sebelum ini, bahawa kementerian dengan kerjasama agensi-agensi yang berkenan sedang bertungkus-lumus berusaha untuk memindahkan kes-kes disahkan positif ke pusat-pusat pengasingan.

Seruan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media di Dewan ‘Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) akan dikenakan kepada mana-mana individu sah COVID-19 yang enggan dibawa untuk dimasukkan ke pusat-pusat pengasingan yang telah disediakan.

Keengganan atau apa jua tindakan individu terbabit melengahkan usaha kerajaan memindahkan mereka ke pusat pengasingan, bukan sahaja diri individu terbabit berkemungkinan mempunyai tanda-tanda jangkitan yang membahayakan nyawa sendiri, tetapi ianya juga akan memudaratkan orang-orang di sekeliling sekiranya jangkitan daripada kes terbabit merebak kepada orang lain.

“Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pejabat Peguam Negara sedang meneliti kes-kes yang telah melanggar Perintah Kuarantin dan arahan pengasingan diri yang telah dikeluarkan untuk dibawa ke mahkamah dalam sedikit masa lagi,” kongsi Yang Berhormat Dato. Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menggesa kepada orang ramai untuk bersama-sama berusaha dan bekerjasama melaksanakan langkah-langkah pengawalan penularan COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan bagi melindungi rakyat dan penduduk di negara ini.

“Semoga Allah SWT memelihara dan melindungi Negara Brunei Darussalam dan kesemua rakyat dan penduduknya daripada segala mara bahaya, bala bencana dan penyakit-penyakit berjangkit khususnya penyakit COVID-19.”

Berkaitan ⇢