Orang ramai dipelawa saran nama anak Kai Kai, Jia Jia

|

views

SINGAPURA: Orang ramai dipelawa memberi cadangan nama bagi anak pasangan beruang panda Kai Kai dan Jia Jia yang dilahirkan pada 14 Ogos lalu.

Pagi tadi (10 Sep), Wildlife Reserves Singapore (WRS) mengumumkan bahawa jantina anak beruang panda itu adalah seekor anak jantan.

Sebelum usianya menginjak 100 hari pada 21 November, WRS mempelawa orang ramai untuk memberikan nama kepada anak beruang panda itu.

Cadangan nama boleh dihantar melalui laman WRS.

“Namanya haruslah menarik perhatian dan mudah untuk diingati, di samping mencerminkan sifat-sifat dengan maksud atau ciri-ciri positif. Ia juga perlu relevan dengan sejarah dan budaya Singapura serta nilai persahabatan antara Singapura dengan China,” menurut WRS.

Sebuah panel pengadil akan dipengerusikan oleh Encik Tan Chuan-Jin, timbalan pengerusi Mandai Park Holdings. Beliau akan meneliti seluruh proses itu.

Panel tersebut turut terdiri daripada wakil dari Kedutaan China di Singapura, agensi-agensi pemerintah relevan, pihak akademia dan WRS.

“Cadangan nama yang disenarai pendek akan dibuka bagi undian umum dan nama yang menerima jumlah undian tertinggi akan dipilih,” menurut WRS.

Tarikh akhir untuk menyerahkan cadangan nama adalah pada 19 September, pukul 11.59 malam.

Jantina anak beruang panda itu ditentukan melalui satu “siri penilaian visual” yang dilakukan oleh pasukan jagaan panda WRS, yang menghantar gambar dan video kepada para pakar di Pusat Kajian dan Pemulihan China bagi Panda Gergasi.

Jantina itu disahkan menerusi rundingan bersama pusat kajian China.

“Hubungan rapat antara Jia Jia dan para penjaganya membolehkan mereka untuk memerhatikan anak panda itu pada jarak dekat, membolehkan mereka untuk mengesahkan adanya alat kelamin anak jantan pada bahagian luar,” menurut WRS dalam satu kenyataan media.

Anak beruang panda itu yang dilahirkan pada 14 Ogos, “kini berada dalam keadaan baik dan membesar dengan stabil setiap hari”, menurut WRS.

“Ia sudah mula mengeluarkan tompok-tompok hitam yang menonjol pada bahagian mata, telinga dan tubuhnya sepanjang bulan lalu.

Jia Jia juga sudah kembali berselera untuk makan. Ia juga berasa selesa meninggalkan anaknya seorang diri dalam tempoh yang singkat.

Anak beruang panda itu belum lagi menjalani pemeriksaan penuh veterinar kerana Jia Jia “masih penjaga utamanya”, menurut WRS sambil menambah bahawa “sejauh ini tiada alasan untuk melaksanakan campur tangan perubatan”.

– CNA/HA/ha

Berkaitan ⇢