Penghantar makanan maut, motosikal rempuh kereta di Kuala Pilah

|

views

SEREMBAN  — Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta di kilometer 25 Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat sini pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam insiden kira-kira pukul 9 pagi itu mangsa Muhammad Afiq Rudhuan, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 26 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Kuala Pilah membelok masuk ke simpang Taman Sri Terachi sebelum motosikal ditunggang mangsa dari arah Kuala Pilah tidak sempat mengelak dan melanggar kereta itu.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terus menggelungsur ke hadapan lalu melanggar sebuah lagi kereta Proton Saga yang sedang berhenti di laluan keluar simpang tersebut. Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berkaitan ⇢