41 kilogram syabu dirampas, tangkapan kedua sejak Isnin

|

views

TAWAU – Sebanyak 41 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai hampir RM1.5 juta berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah syarikat pengangkutan, di Jalan Sin On, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Peter Umbuas berkata, ia susulan daripada tangkapan terbesar Isnin lalu, membabitkan 303 kilogram dadah yang sama, di Kampung Batu Payung.

“Hasil maklumat daripada suspek lelaki berusia 49 tahun itu, polis melakukan serbuan di kawasan penyimpanan kontena di Jalan Sin On, jam 12.30 tengah hari, Khamis lalu.

“Pemeriksaan ke atas sebuah kontena di situ berjaya menemui 13 bungkusan plastik berisi hablur putih dipercayai syabu yang disembunyikan dalam enam kotak berasingan,” katanya hari ini.

Menurut Peter, siasatan turut dilakukan terhadap syarikat berkaitan untuk memastikan penglibatan mereka dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori,” katanya.

Operasi terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan syabu yang berjaya dirampas setakat ini mencecah 344 kilogram. – Getaran,  11 September 2021

Berkaitan ⇢