S’pura lapor 550 jangkitan tempatan COVID-19; kelompok besar dikesan di Chinatown Complex

|

views

SINGAPURA: Singapura melaporkan 550 jangkitan tempatan baru COVID-19 setakat tengah hari Sabtu (11 Sep). Jumlah tersebut merangkumi 486 kes dalam masyarakat dan 64 penghuni dormitori pekerja hijrahan.

Seramai 145 daripada kes tempatan itu, adalah warga emas berusia lebih 60 tahun, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Dua kelompok besar jangkitan dikenal pasti, termasuk Chinatown Complex dengan 44 kes baru. Kesemuanya terdapat 66 jangkitan dihubung kait dengan kelompok itu, terdiri daripada 58 pegerai dan pembantu kedai, empat pekerja pembersihan, seorang duta jarak selamat dan tiga kontak seisi rumah pekerja.

Satu lagi kelompok besar adalah di PCF Sparkletots Braddell Heights, terletak di 335 Serangoon Avenue 3. Ada tiga kes baru dan 22 jangkitan keseluruhannya dikaitkan dengan kelompok itu.

Jangkitan di prasekolah itu terdiri daripada murid dalam kelas yang sama, dengan penularan lanjut dalam kontak rapat seisi rumah dengan berkenaan, tambah MOH.

UJIAN BAGI KAKITANGAN CHINATOWN COMPLEX

Chinatown Complex akan ditutup kepada orang ramai hingga 15 September untuk memutuskan sebarang kemungkinan rantaian jangkitan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dijalankan, kata MOH.

Semua kakitangan yang bekerja di situ akan menjalani ujian COVID-19.

Mereka yang sudah mendaftar masuk dengan SafeEntry ke Chinatown Complex dari 8 Sep hingga 11 Sep akan diberikan amaran risiko kesihatan (HRA). Mereka sangat digalakkan menjalani ujian reaksi berantai polimerase (PCR) secepat mungkin dan mengurangkan pergaulan sosial selama 14 hari, kata MOH.

Ujian percuma COVID-19 juga akan ditawarkan kepada orang ramai yang telah pergi ke Chinatown Complex antara 8 dengan 11 Sep tetapi tidak menerima amaran risiko kesihatan.

Mereka yang mengunjungi Chinatown Complex antara 8 dengan 11 Sep dinasihatkan agar memantau kesihatan masing-masing dengan teliti, dan mengurangkan pergaulan sosial sebanyak mungkin, selama 14 hari dari tarikh lawatan mereka. Mereka digalakkan berjumpa doktor dengan segera sekiranya berasa tidak sedap badan.

Terdapat juga lima kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Singapura pada Sabtu kepada 555.

Setakat Sabtu, Singapura telah melaporkan 71,162 kes COVID-19 kesemuanya.

– CNA/TQ/tq

Berkaitan ⇢