Malaysia diisytihar tamat wabak polio

|

views

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penamatan wabak polio di Malaysia berdasarkan penilaian menyeluruh panel pakar antarabangsa terhadap kawalan dan pencegahan polio di negara ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perutusan rasmi pengisytiharan itu disampaikan Pejabat Perwakilan WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam.

Menurutnya, berdasarkan penilaian itu, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak itu diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularannya.

“Pada penghujung tahun 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio di negara ini.

“Susulan pengesahan kes polio itu, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan, dan masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, KKM mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan Acute Flaccid Paralysis (AFP) di seluruh negara.

“Dalam aktiviti survelan ini, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berusia di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

“Dari 1 Januari 2019 hingga 9 September 2021, sebanyak 426 kes AFP dilaporkan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, empat empat kes disahkan polio, kesemuanya dilaporkan di negeri Sabah, masing-masing berusia tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio,” katanya.

Beliau berkata, kes yang terakhir mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari 2020 di mana kes yang disahkan polio ini didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio.

“KKM juga menjalankan persampelan air kumbahan bagi mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran.

“Daripada 1 Januari 2019 hingga 9 September 2021, sebanyak 1,124 sampel air kumbahan diambil di seluruh negara,” katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, virus polio dikesan dalam 25 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah, serta satu sampel air kumbahan yang diambil di Wilayan Persekutuan Labuan.

“Sampel persekitaran positif yang terakhir dikesan virus polio adalah pada 1 Julai 2020.

“Sehubungan itu, KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah menjalankan Kempen Imunisasi Polio bagi menghentikan penularan virus polio dan mencegah kejadian kes polio,” katanya.

Berkaitan ⇢