Sijil Vaksin Luar Negara Perlu Disahkan PKD – Dr Adham Baba

|

views

KUALA TERENGGANU – Semua rakyat Malaysia yang mengambil vaksin COVID-19 di luar negara wajib mengesahkan sijil antarabangsa mereka di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, wujud kekeliruaan apabila golongan terbabit menyangka mereka hanya perlu mengemas kini sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera, tanpa perlu mendapat pengesahan PKD.

Menurut beliau, sijil vaksin dikeluarkan negara lain memiliki perincian berbeza, justeru ia perlu dilaporkan di PKD terlebih dahulu.

“Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara mereka ada isu sebab sijil vaksin tak sama dengan kita. Proses yang betulnya mereka kena laporkan di PKD yang terdekat dulu.

”Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan menghantar kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan kemudian barulah MySejahtera akan keluarkan sijil,” katanya pada sidang media di Program Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach di Taman Desa Paloh di sini hari ini.

Dr Adham berkata, pengesahan sijil perlu dilakukan di PKD terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya unsur penipuan.

“Jika hanya terus melalui MySejahtera kita bimbang akan lebih senang berlaku penipuan atau cubaan memalsukan sijil,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, proses vaksinasi COVID-19 bagi golongan remaja Terengganu akan dimulakan selepas negeri itu mencapai sasaran 80 peratus menjelang akhir bulan ini.

Katanya, 93,262 remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah dikenal pasti sebagai penerima vaksin COVID-19 bagi fasa pertama.

“Proses ini akan digerakkan secepat mungkin di semua sekolah sejurus selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membabitkan golongan dewasa selesai.

“Sasaran 80 peratus imuniti kelompok di Terengganu bakal dicapai sebelum akhir bulan September dan perkembangan itu memberi petanda pelaksanaan vaksin kepada remaja boleh dimulakan,” katanya. – Getaran, 12 September 2021

Berkaitan ⇢