Penjawat awam didakwa rogol anak tiri

|

views

KOTA BHARU – Seorang kerani di sebuah jabatan kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol anak tirinya di rumah mereka pada 2017 dan minggu lalu.

Tertuduh yang berusia 38 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak yang merupakan anak tirinya berusia 11 tahun tujuh bulan ketika kejadian

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang sama ketika remaja itu berusia 14 tahun 10 bulan.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Guchil Bayam di sini kira-kira pukul 8 hingga 10 malam pada pertengahan tahun 2017 dan pukul 8 pagi pada 6 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Hilmi.

Terdahulu, Mohd. Faizuan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh dan anak tirinya mempunyai hubungan keluarga sekali gus berkemungkinan akan menggangu mangsa.

Halim Ashgar dalam rayuannya memohon jaminan ekoran tertuduh tiada sebarang rekod jenayah lampau dan merupakan pekerja yang tidak mempunyai masalah sepanjang 17 tahun berkhidmat dalam jabatan awam.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan tarikh 26 Oktober depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Berkaitan ⇢