Haikal Farid & Weswey, Bakat Baharu Malaysia & Indonesia Bergabung Dalam Perihal Dirimu

|

views

Lagu yang menyentuh hati ini berkisar mengenai topik sayangi diri sendiri dan mencintai diri sebenar pasangan seseorang mendapat sentuhan pencipta lagu terkemuka Malaysia, Aubrey Suwito dan penulis lirik hebat Ad Samad.

Menurut Haikal, usaha sama ini adalah satu peluang yang besar dan dia amat terharu untuk menjadi sebahagian daripada projek yang luar biasa ini.

“Saya terus jatuh cinta dengan lagu Perihal Dirimu ciptaan Aubrey sejurus mendengarnya buat kali pertama dan saya berbesar hati dapat merakamkan lagu yang menghidupkan semangat positif ini bersama beliau.

“Bukan itu sahaja, peluang ini juga membawa kepada kolaborasi hebat dengan King Weswey, dan kami berdua berharap lagu ini dapat menaikkan semangat mereka yang terkesan akibat pandemik agar kita dapat terus menjalani hari-hari mendatang dengan lebih baik,” katanya.

Tambah Weswey, projek ini adalah pengalaman yang sangat berharga kerana dia dapat berkolaborasi dengan pemuzik dari luar Indonesia.

“Menyanyikan Perihal Dirimu bersama Haikal adalah sesuatu yang menyeronokkan dan saya harap kami berpeluang untuk bersama-sama menghasilkan lebih banyak lagi muzik pada masa hadapan.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada produser dan pencipta lagu, Aubrey, yang menjadikan proses kreatif penuh dengan keceriaan sehinggakan kami semua senang untuk bekerjasama,” katanya.

Perihal Dirimu yang merupakan lagu original yang pertama TikTok di Malaysia dan Indonesia kini boleh didengari di aplikasi terbabit serta semua platform penstriman muzik.

Berkaitan ⇢