Sukarelawan didakwa hina agama Islam, institusi raja

|

views

MELAKA: Seorang sukarelawan pertubuhan badan kerajaan (NGO) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas dakwaan membuat komen jelik dan menghina institusi raja serta agama Islam.

Tertuduh, Prajiv Lionel Proctor, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan laman sosial Facebook atas nama Lionel Proctor, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik, menghina raja dan agama Islam.

Dia dituduh melakukan tindakan itu dengan niat untuk menganiayai orang lain, yang dibaca di laman profil Facebook Bantal Busuk pada 29 Disember 2019, kira- kira jam 1 tengah hari, di Bukit Piatu, Melaka.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari, yang mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 diberikan kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Tan Show Teng, merayu jaminan rendah diberikan, dengan alasan tertuduh tiada pendapatan tetap selain kini sedang menjalani rawatan penyakit kanser tiroid dan menghidap Obsessive Kompulsif (OCD) serta Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 selain menetapkan 17 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berkaitan ⇢