U Mobile lancar pelan jalur lebar tetap dengan diskaun 50% selama 24 bulan dan percuma bulan pertama

|

views

U Mobile kini menawarkan pelan jalur lebar tetap di rumah, apabila mereka mengumumkan telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan dengan Allo Technology Sdn. Bhd. (Allo), penyedia perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi dan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad.

Dengan kerjasama ini, U Mobile boleh menggunakan infrastruktur milik Allo untuk menawarkan pelan jalur lebar gentian U Mobile yang dipanggil Ultra Unlimited Home Fibre Broadband. Pelan ini disediakan di kawasan rumah terpilih di Melaka, Cyberjaya, Perak dan Kedah sebagai perintis sulung. Sudah pasti, U Mobile berhasrat untuk memperkembangkan perkhidmatan jalur lebar gentiannya ke lebih banyak lokasi tidak lama lagi.

Sebagai tawaran pengenalan, U Mobile menawarkan diskaun 50% untuk pelan terpilih bagi tempoh 24 bulan. Dengan syarat, turut melanggan pelan pascabayar Giler Unlimited GX68, Unlimited HERO P79, P99 atau P139.

Selain itu, pelanggan yang mendaftar untuk pelan Ultra Unlimited Home Fibre Broadband sebelum 16 Disember 2021 dan melengkapkan pemasangan di rumah mereka pada atau sebelum 15 Januari 2022 juga dapat menikmati langganan bulan pertama percuma.

Terdapat tiga pelan yang ditawarkan oleh U Mobile iaitu berkelajuan 100Mbps berharga RM129/bulan, 500Mbps RM199/bulan dan 1Gbps RM299/bulan. Semua pelan datang dengan kuota tanpa had bersama kontrak selama 24-bulan.

Daripada ruangan terma dan syarat, semua pelan ini memiliki kelajuan muat naik dan muat turun yang sama. Jika langganan ditamatkan sebelum 24-bulan, pengguna hanya dikenakan caj penamatan awal sebanyak RM500 sahaja.

Menurut U Mobile, pelanggan akan menerima router percuma iaitu model D-Link-DVG-F2452 untuk pelan 100Mbps dan 500Mbps. Bagi pelan 1Gbps akan diberikan router Nokia G-240g-E. U Mobile juga menyatakan bahawa mereka akan menawarkan router Easy Mesh dan WiFi 6 di masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web U Mobile Home Fibre Broadband.

Berkaitan ⇢