Seludup Daun Ketum Guna Lori Simen, 2 Lelaki Ditahan

|

views

PASIR MAS – Cubaan dua lelaki untuk menyeludup daun ketum menggunakan lori tangki simen kandas di tengah jalan, apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya di Chekok, Tok Uban hari ini.

Pemandu dan kelindannya yang berumur 35 dan 46 tahun itu ditahan pada jam 2.30 pagi tadi.

Susulan penahanan, polis turut merampas 5,560 kilogram (kg) daun ketum bernilai hampir RM200,000 yang diletakkan di dalam tangki lori jenis Volvo itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mengangkut daun ketum dengan menggunakan lori tangki simen adalah modus operandi terbaru penyeludup.

Menurut beliau, polis membuat pemerhatian selama satu jam sebelum menahan lori tangki simen itu yang disyaki bergerak menggunakan laluan Tanah Merah ke Machang.

“Polis mengekori lori berkenaan di SJR Chekok sebelum membuat pemeriksaan terhadap kenderaan itu tetapi tidak menemui sebarang bahan terlarang.

“Soal siasat ke atas kedua-dua mereka bagaimanapun membawa kepada penemuan plastik hitam yang mengandungi daun ketum di dalam tangki lori,” katanya dalam sidang media di IPD Pasir Mas di sini.

Shafien memberitahu, kesemua daun ketum itu diambil dari bahagian utara Malaysia untuk diseludup ke negara jiran, kerana mendapat permintaan tinggi di sana.

“Kami yakin kawasan Pasir Mas dijadikan sebagai lokasi transit sebelum daun ketum terbabit diseludup melalui jalan sungai yang tidak diwartakan.

“Siasatan juga mendapati, lori tangki simen itu adalah milik persendirian pemandu yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu dan suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ dengan menerima upah RM3,000 untuk satu perjalanan,” katanya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori berkenaan positif dadah jenis morfin, manakala kelindan pula disahkan memiliki mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Kedua suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi menjalani siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Getaran, 14 September 2021

Berkaitan ⇢