Tak Puas Hati Dengan Undang-Undang Punca Pondok Polis Dibakar

|

views

BACHOK – Akibat tidak berpuas hati dengan ketegasan undang-undang berkaitan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), seorang lelaki bertindak membakar pondok bit Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jelawat, Bachok, pada Sabtu lalu.

Lelaki berusia 34 tahun yang juga suspek keempat ditahan di Kampung Gelong Badak di sini, pada jam 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, hasil soal siasat ke atas suspek, dia mengaku bertindak di luar batasan kerana dihasut oleh rakan-rakannya.

Menurut beliau, risikan yang dibuat sebelum operasi di Bachok membawa kepada penahanan dua lagi lelaki termasuk suspek utama pada Isnin serta Selasa lalu di lokasi berasingan.

“Beberapa hari lalu polis berjaya menahan dua lelaki berusia 24 dan 37 tahun selepas beberapa jam pondok bit polis di Jelawat terbakar, dipercayai akibat dilempar bom petrol.

“Susulan itu, kita menahan dua lagi lelaki dan turut merampas motosikal jenis Yamaha 125ZR, selain menemui sepasang ‘cover set’ motosikal jenis sama berwarna merah hitam yang sudah dileraikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan dan Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok, di sini, hari ini.

Shafien berkata, suspek utama bertindak menukar ‘cover set’ motosikalnya kepada warna kuning hitam selepas melakukan perbuatan berkenaan (bakar pondok bit polis), namun berjaya dikesan pihak polis.

“Lelaki itu mengaku membakar pondok polis kerana disebabkan tidak berpuas hati terhadap anggota yang bertugas di pondok kerana selalu mengeluarkan saman kepada orang awam,” katanya.

Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis metafetamin dan mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.

“Kedua-dua suspek yang baharu ditangkap itu ditahan reman selama enam hari bermula semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan,” katanya. – Getaran, 15 September 2021

Berkaitan ⇢