Yes tawar telefon Galaxy A02 berharga RM1 dengan kontrak sempena Hari Merdeka

|

views

Jika ada yang ragu-ragu dengan telefon percuma Yes, anda kini boleh mendapatkan telefon pintar Samsung Galaxy A02 menerusi Pakej Merdeka RM1 oleh Yes. Ia diikat dengan kontrak selama 12 bulan bersama pelan pascabayar Yes Postpaid 49.

Pelan pascabayar Yes Postpaid 49 adalah pelan paling berbaloi di pasaran kini. Ia diberi kuota data berkelajuan tinggi sebanyak 100GB, bersama panggilan tanpa had ke semua rangkaian.

Untuk mendapatkan Galaxy A02 pada harga RM1, pelanggan masih perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM149 serta 1 bulan pendahuluan RM49. Wang pendahuluan RM149 ini kemudian akan direbat ke dalam bil bulanan selama 12 bulan. Jadi semasa pendaftaran, pelanggan perlu membayar sebanyak RM210.88, termasuk cukai SST.

Menurut terma dan syarat, tawaran ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan MyKad, MyPR atau MyTentera. Ia ditawarkan dari 23 Ogos sehingga 18 September 2021, sementara stok masih ada. Jika anda berminat, boleh melanggan Pakej Merdeka RM1 di laman web www.yes.my.

Berbeza dengan syarikat telekomunikasi lain, rangkaian Yes beroperasi 100% di 4G LTE sahaja, dengan sokongan VoLTE. Mereka tidak terkesan dengan penutupan rangkaian 3G di Malaysia hujung tahun ini, tetapi ia juga bermakna mereka tiada sokongan 2G yang lebih luas liputannya. Sebaiknya, anda semak dahulu liputan Yes di kawasan anda, sebelum mengikat kontrak dengan Yes.

Samsung Galaxy A02

Telefon pintar kelas permulaan ini berharga RM399 di Malaysia. Ia dikuasakan cip MediaTek 4-teras 1.5Ghz, yang tidak dinyatakan jenisnya. RAM pula 3GB dan storan 32GB. Skrinnya seluas 6.5-inci dengan resolusi HD 720p.

Ia ada dua kamera belakang, gabungan kamera utama 13MP dan kamera makro 2MP. Kamera hadapan pula 5MP, terletak di dalam takuk di dahi skrin. Bateri sebesar 5,000mAh terdapat di dalam, dan mengecas melalui port mikroUSB. Jek audio 3.5mm masih ada dan ia juga menerima kad mikroSD sehingga 1TB.

Berkaitan ⇢