Tahap jangkitan COVID-19 stabil

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT– Gelombang kedua jangkitan COVID-19 di negara ini dalam keadaan stabil apabila tahap effective reproduction number iaitu R(t) pada masa ini adalah sekitar satu positif menyebabkan satu kes baharu berbanding basic reproduction number (R-naught) pada awal gelombang kedua pada tahap 5 yang bermakna satu kes positif menyebabkan lima kes baharu.

Manakala dalam lengkungan epidemik pula berdasarkan tarikh kes menjalani ujian swab, meskipun tidak menunjukkan penurunan tetapi ia adalah stabil dan tidak menunjukkan peningkatan.

“Graf ini juga menunjukkan doubling time iaitu jangka masa bagi jumlah kes bertambah dua kali ganda ialah 20.1 hari, berbanding dengan tiga sehingga empat hari semasa gelombang kedua mula-mula berlaku,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar ketika menunjukkan paparan slaid-slaid dapatan pemantauan dan analisa berterusan mengenai jangkitan koronavirus pihak Kementerian Kesihatan di negara ini pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan ‘Al-Afiah, kementerian Kesihatan hari ini.

Terdahulu, beliau menjelaskan setakat 12 September 2021, sebanyak 3,835 kes telah dikesan bermula 6 Ogos yang mana 3,791 (98.9 peratus) adalah kes penularan tempatan dan 44 lagi kes import.

Sebanyak 27.9 peratus kes-kes tersebut adalah kanak-kanak dan remaja berusia 19 tahun ke bawah, tambahnya.

“Sehubungan itu, Program Vaksinasi Kebangsaan sedang meneliti dan mempertimbangkan cadangan untuk memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak yang mana jika dilaksanakan, Kementerian Kesihatan akan mendapatkan vaksin yang bersesuaian,” jelas Yang Berhormat Dato.

Selain itu dapatan analisa itu juga menunjukkan kes-kes terlibat dalam gelombang kedua setakat ini adalah mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, manakala 8.4 peratus kes adalah mereka yang telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya menjelaskan, “sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, mereka yang telah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 masih boleh dijangkiti oleh virus

SARS-CoV-2, akan tetapi pada kebiasaannya, jangkitan yang mereka hadapi adalah ringan iaitu sama ada hanya mengalami tanda-tanda jangkitan yang ringan atau tidak mengalami sebarang tanda-tanda jangkitan sama sekali.”

Penganalisaan terhadap kes-kes yang terlibat dalam gelombang kedua ini juga mendapati keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan yang bergejala (mempunyai tanda-tanda jangkitan) dan jangkitan tidak bergejala (tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan) ialah 75.8 peratus bagi mereka yang baru menerima satu dos vaksin dan 82.9 peratus bagi mereka yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

“Dapatan ini menunjukkan walaupun berlaku breakthrough infections namun suntikan vaksin COVID-19 telah terbukti mencegah kebanyakan besar jangkitan COVID-19 di negara ini,” tambah Yang Berhormat Dato.

Oleh yang demikian, sebagai usaha kita semua dalam membendung wabak COVID-19, Yang Berhormat Dato sangat menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 yang disediakan secara percuma oleh kerajaan.

Berkaitan ⇢