Hari Malaysia: Sabah harap PM teruskan siri rundingan MA63

|

views

KOTA KINABALU  — Sabah berharap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan segera siri rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah serta Kerajaan Negeri Sarawak melalui Majlis Khas MA63.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata platform Majlis Khas MA63, yang dirintis oleh bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu disambung semula memandangkan telah banyak kemajuan awal dicapai menerusi rundingan itu.

“Kita berkeyakinan tinggi di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna lebih besar berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah.

“Kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah malam ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Bung Moktar Radin, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta menteri-menteri Kabinet persekutuan dan negeri.

Hajiji turut menegaskan bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, suara rakyat yang mengutarakan hak-hak negeri sebenarnya bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

Beliau berkata keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan Sabah kepada Persekutuan Malaysia.

“Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan Sabah diberikan pengiktirafan lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan membina negara jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Hajiji juga berkata kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwipartisan melalui memorandum persefahaman (MoU) di peringkat persekutuan.

Katanya komitmen GRS ialah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lepas bagi menunaikan mandat rakyat apatah lagi di kala negara berdepan kemelut kesihatan awam luar biasa akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu atas semangat Keluarga Malaysia selain menaruh keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, negeri itu akan menikmati lebih banyak pembangunan di semua peringkat.

“Keluarga Malaysia merupakan satu konsep kenegaraan yang begitu utuh dan berupaya menyimpulkan ikatan akrab sekalian rakyat jelata berbilang kaum, agama dan budaya. Hakikatnya, pendekatan Keluarga Malaysia amat relevan dengan kami di Negeri Di Bawah Bayu ini,” katanya.

Bung Moktar dalam ucapannya pula berkata meskipun sambutan Hari Malaysia tahun ini diadakan secara sederhana namun beliau yakin rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, memiliki semangat cintakan negara yang tinggi bagi meraikan bulan bersejarah ini.

“Kita telah dilahirkan di tanah air ini dan menjadi sebahagian warganegara yang bersumpah setia untuk mempertahankannya sehingga akhir hayat. Semangat juang tinggi pemimpin dan nenek moyang kita dalam menuntut kemerdekaan negara yang penuh ranjau dan berliku perlu dijadikan iktibar serta inspirasi kepada kita semua.

“Ketika ini, kita sedang berperang dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya. Marilah sama-sama kita berdoa agar kita terus cekal dan dikurniakan kekuatan dalam usaha menamatkan wabak COVID-19 bagi membolehkan usaha meneruskan legasi pembangunan, memulihkan ekonomi dan kemakmuran negara berjalan lancar,” katanya.

Berkaitan ⇢