Fasa endemik masih jauh

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Bagi negara untuk beralih ke fasa endemik, ia masih jauh, agak sukar, memerlukan masa yang panjang dan apa yang penting lagi adalah, orang ramai mampu menerimanya, membuat persediaan teratur serta sesuai untuk menerima keadaan sebagai endemik.

Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah mencapai matlamat kempen pemvaksinan negara sebanyak 80 peratus pada penghujung tahun kelak, namun meskipun inokulasi mencapai imuniti kelompok, ia masih memerlukan garis panduan perintah kawalan untuk dilonggarkan ke tahap yang lebih sesuai dan pertimbangan perkara lain.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa menjawab persoalan dikemukakan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya lagi, tidak semestinya semua aktiviti akan kembali seperti sebelumnya kerana gelombang kedua ini akan memakan masa yang panjang.

“COVID-19 sama seperti virus lain, sebagai contoh virus H1N1 yang juga di kira endemik kerana ia masih boleh menular,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan yang kerajaan masih berharap orang dewasa akan diberikan vaksin keseluruhannya sebelum penghujung tahun ini yang juga bergantung kepada ketersediaan vaksin.

“Ini adalah matlamat kita untuk mencapai 70 peratus penduduk telah divaksinasi dan jika kita memberikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 ke 18 tahun, jumlah peratus boleh disasarkan kepada 80 peratus seluruh penduduk negara Brunei Darussalam dan ini adalah yang lebih baik,” tambahnya.

Selain itu, pihak kementerian perlu mempertimbangkan mengenai pengagihan suntikan booster di samping melihat keadaan negara-negara jiran yang berkongsi sempadan yang mana masalah jalan tikus masih menjadi satu kebimbangan bagi memutuskan penularan wabak.

Sehubungan itu, orang ramai diharap akan memberikan kerjasama dan mengikut apa juga
peraturan dan lebih awal kita menerima pandemik ini sebagai endemik, lebih awal lagi kita kembali membuka semula aktiviti seperti sebelumnya.

Berkaitan ⇢