Rampasan Dadah Terbesar Sabah, 3 Lagi Suspek Ditahan

|

views

TAWAU – Polis menahan tiga lagi lelaki dan merampas dua kenderaan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan rampasan 303 kilogram dadah di Kampung Batu Payung, di sini, 7 September lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Peter Umbuas berkata, pihaknya giat melakukan serbuan di beberapa lokasi sehingga 10 September lalu berdasarkan maklumat diterima.

Menurut beliau, seorang daripada suspek ditahan di Kunak manakala dua lagi ditahan di Tawau.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang direman seramai empat orang dan ia turut membabitkan rampasan empat kenderaan serta 344 kilogram syabu, dengan nilai melebihi RM11 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini.

Peter memberitahu, siasatan terperinci masih dilakukan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis merampas dua kilogram dadah, juga dari jenis syabu yang disembunyikan dalam bengkung dipakai dua wanita warga asing, kelmarin.

“Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang dinaiki seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia di Kilometer 37 Jalan Tawau-Semporna.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui 40 paket plastik lutsinar berisi hablur putih dipercayai syabu yang disembunyikan dalam bengkung dipakai dua wanita terbabit,” katanya.

Suspek dipercayai dalam perjalanan menyeludup keluar dadah tersebut ke Indonesia.

Menurut Peter, rampasan kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM72,720.

“Semua suspek yang berusia 38 hingga 48 tahun direman selama tujuh hari sehingga 22 September ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Berkaitan ⇢