Lelaki Indonesia Diberkas Miliki 17 Laras Senjata Api Tiruan

|

views

MUKAH – Seorang lelaki warga negara Indonesia diberkas kerana memiliki 17 laras senjata api tiruan dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Orang Kaya Setiaraja, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Mohamad Rizal Alias berkata, terdapat enam rakyat Indonesia ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak bersama Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) pada jam 3.05 pagi.

Menurut beliau, kesemua warga asing itu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita, berusia antara 25 hingga 39 tahun.

“Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan juga tamat tempoh.

“Bagaimanapun, soal siasat terhadap seorang seorang suspek berusia 27 tahun telah menjumpai pelbagai jenis senjata api tiruan dalam rumah berkenaan,” katanya.

Antara senjata tiruan dijumpai katanya ialah AK, Sniper, M16, HK, HK UMP, Pump Gun,HK 416, Styer dan Riple P90 serta 24 kelopak peluru tiruan, 12 paket peluru bebola plastik dan gel bagi tujuan permainan paintball.

“Suspek yang bekerja sebagai peniaga barangan Indonesia di kawasan ladang Mukah membawa masuk senjata api tiruan itu secara seludup.

“Suspek merancang mahu menjalankan perniagaan permainan paintball di Mukah menggunakan blaster, tetapi tidak dapat dijalankan kerana tiada rakan kongsi tempatan untuk permohonan lesen, malah perniagaan juga tidak dapat dijalankan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada masa sekarang,” ujarnya.

Rizal berkata, semua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai sekitar RM40,000.

“Hasil semakan awal mendapati suspek tidak mempunyai  rekod lampau berkaitan kes jenayah.

“Suspek telah diserah kepada pihak polis kerana  disyaki melakukan kesalahan mengikut  Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960 iaitu memiliki pelbagai jenis senjata api tiruan,” jelasnya.

Lima lagi rakan suspek telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Berkaitan ⇢