Di Brunei, berlakon hanya kerja sambilan – Imelda Farah Zohre

|

views

Di negara Brunei Darussalam, kerjaya sebagai pelakon biasanya dilakukan sebagai kerja sambilan sahaja dan ada yang berlakon hanya kerana minat dan ingin menonjolkan bakat yang terpendam. 

Salah seorang pelakon Brunei, Imelda Farrah Zohre, 37, ketika ditanya menjelaskan kerjayanya sebagai pelakon hanyalah untuk mencari pendapatan sampingan sahaja.

Jika tiada tawaran berlakon, Imelda sedaya upaya berusaha mencari pendapatan lain.

Imelda bersama suami dan kru semasa membuat penggambaran bersama Menteri Kesihatan BruneiDia merasakan bahawa semua pelakon Brunei maklum bahawa menjadi pelakon sepenuh masa tidak akan dapat menjana kewangan yang diharapkan.

Oleh itu, kebanyakan pelakon Brunei memiliki pekerjaan lain sama ada kerja sambilan ataupun sepenuh masa.

Bagi Imelda, niatnya berlakon adalah untuk mencari rezeki tambahan. Bak kata pepatah, mencari sesuap nasi untuk meneruskan kehidupan berkeluarga.

Selain daripada meminati aktiviti berlakon, dia juga merasa seronok apabila berada di set penggambaran terutama sekali semasa sesi membaca skrip, membuat persiapan pakaian dan dandanan, set up rakaman babak serta bekerjasama bersama penerbit, pengarah, serta kru belakang tabir.

Pada masa ini, Imelda masih lagi bergiat dalam bidang lakonan. Dia masih lagi ditawarkan untuk berlakon di dalam beberapa buah drama terkini terbitan Radio Televisyen Brunei (RTB).

Drama pertama yang pernah Imelda lakonkan ialah pada tahun 2002, 19 tahun yang lalu.

Pada masa itu, Imelda sudah habis menuntut di Tingkatan 5 dan belum terbuka hati untuk meneruskan pelajaran. Ketika itu, Imelda terlihat iklan yang disiarkan oleh Hadiyul Studio Production mengenai uji bakat terbuka.

Imelda bersama dua orang kakaknya menghadiri uji bakat tersebut dan telah terpilih untuk menjadi pelakon tambahan dalam drama bertajuk ‘Ertinya Cinta’.

Itulah titik permulaan dunia lakonannya. Sejak drama tersebut diterbitkan dan ditayangkan, Imelda telah dikenal sebagai pelakon yang berbakat dan masih aktif berlakon sehingga sekarang.

Mengenai pengalaman Imelda sebagai pelakon, dia pernah ditawarkan untuk berlakon drama-drama tempatan dan diberikan kepercayaan untuk mengikuti beberapa drama kerjasama RTB, RTM dan MediaCorp Singapura.

Lokasi penggambaran paling jauh yang pernah dia ikuti adalah di Acheh, Indonesia untuk sebuah drama.

“Jika diberikan peluang, Imelda tidak akan menolak untuk berlakon di luar negara terutama sekali untuk berlakon bersama pelakon-pelakon handalan dari luar,” katanya.

Setelah beberapa tahun terlibat dalam dunia lakonan ini, Imelda juga sering terlibat di hadapan kamera sehinggalah dia mengenali suaminya sekarang, Adam Groves.

Adam ialah seorang pembuat filem tempatan yang telah mengarahkan filem aksi komedi Primajaya pada tahun 2016.

Dari sinilah, Imelda mula menjadi penerbit dalam pengurusan produksi filem-filem yang diarahkan oleh suami sendiri.

Selain pelakon dan penerbit, Imelda juga menerima tawaran untuk pembuatan skrip, menjadi seorang cameraman, soundman dan kru mana-mana produksi tempatan. Dia juga membantu menguruskan produksi suaminya untuk mendapatkan projek.

Tidak hanya itu, Imelda juga berkerja sambilan sebagai pemandu Dart (perkhidmatan e-hailing di Brunei) dan juga menjadi kerani pentadbiran di sebuah syarikat swasta yang menguruskan bangunan.

Setelah Brunei dilanda gelombang Kedua COVID-19, ramai yang terkesan dengan kawalan pergerakkan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Brunei.

Begitu juga Imelda dan suaminya yang terpaksa menangguhkan projek-projek penggambaran mereka bagi sama-sama melindungi Brunei Darussalam daripada virus itu.

Dia menjelaskan bahawa dia amat faham akan situasai begini. Ini kerana bukan sahaja pelakon, malah peniaga-peniaga di Brunei turut terjejas.

Walau bagaimanapun, Imelda amat bersyukur bahawa kerajaan Brunei telah memberikan bantuan kepada mereka yang sangat memerlukan. – Getaran, 18 September 2021

Berkaitan ⇢