Australia sumbang 100,000 vaksin AZ

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Sebanyak 100,000 dos vaksin AstraZeneca (AZ) buatan Australia yang disumbangkan oleh kerajaan Australia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), malam ini.

Majlis penyerahan sumbangan vaksin tersebut telah diadakan di LTAB dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Pengiran Datin Shazainah binti Pengiran Dato Paduka Shariffuddin sebagai wakil kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Chintana Vongpaseuth selaku wakil kerajaan Australia.

Hadir sama ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam serta Suruhanjaya Tinggi Australia di Bandar Seri Begawan.

Chintana dipetik menyatakan Australia teruja kerana dapat membantu dalam respons COVID-19 Negara Brunei Darussalam.

Beliau menyatakan berkongsi vaksin buatan Australia dengan Brunei menekankan lagi bagaimana Australia meningkatkan usahanya bagi memastikan semua orang di rantau ini termasuk Brunei, mempunyai akses kepada vaksin yang selamat dan efektif.

Dan Seehusen, Chintana Vongpaseuth dan Pengiran Datin Shazainah semasa majlis penyerahan 100,000 vaksin AstraZeneca daripada kerajaan Australia di LTAB, malam tadi.

Manakala itu, Setiausaha Ketiga Suruhanjaya Tinggi Australia, Dan Seehusen berkata beliau teruja kerana dapat menerima vaksin sebagai sebahagian daripada program vaksinasi Brunei.

Oleh itu, beliau amat berbesar hati kerana dapat menyumbang kepada usaha vaksin Brunei.

Pada Disember 2020, Jabatan Pertahanan Australia telah menyumbangkan alat  kelengkapan makmal COVID-19 kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi Pusat Khidmat Perubatan dan Kesihatan (MRS) di Bolkiah Garison.

Negara Brunei Darussalam dan Australia menikmati hubungan kerjasama yang erat dan mesra sejak sekian lama.

Sejak penubuhan hubungan diplomatik pada 1984, kedua-dua buah negara terus bekerjasama rapat dalam bidang-bidang yang berkepentingan seperti pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan kesalinghubungan.

Australia merupakan rakan kongsi yang penting bagi Negara Brunei Darussalam.

Dengan mengambil kira kesan jangka panjang wabak COVID-19, khususnya terhadap kesejahteraan rakyat, Negara Brunei Darussalam dan Australia terus bekerjasama rapat dalam menangani isu kesihatan mental serantau, termasuk di bawah mekanisme ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur.

Ini adalah selaras dengan keutamaan Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN, di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper. Sidang Kemuncak ASEAN-Australia kali pertama yang akan diadakan tahun ini merupakan pencapaian yang sangat bermakna bagi kerjasama serantau ASEAN-Australia.

Berkaitan ⇢