Pulau Perhentian Kembali Dibuka Esok

|

views

BESUT – Pulau Perhentian yang ditutup kerana penularan kes COVID-19 pada bulan lepas akan dibuka operasi pelancongannya secara rasmi berkuat kuasa esok.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, keputusan itu dicapai selepas pulau tersebut bebas daripada jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, semua penggiat pelancongan dan penduduk juga sudah melengkapkan dos vaksin masing-masing.

“Walaupun esok dibuka secara rasmi, namun sebenarnya hari ini sudah ada memulakan perniagaan.

“Semua penggiat pelancongan dan penduduk juga sudah divaksin, cuma sekarang kita minta diberi juga bagi remaja berusia umur 18 tahun ke bawah, tetapi (perkara) itu perlu dibincangkan bersama penduduk sama ada setuju atau tidak,” katanya.

Tindakan itu jelas Abdul Aziz lagi, adalah demi kebaikan semua pihak, khususnya komuniti setempat kerana pulau terbabit sering menjadi tumpuan pelancong, termasuk dari luar negara.

Beliau berkata, pembukaan secara rasmi operasi Pulau Perhentian esok adalah satu kelegaan kepada pemain industri dan penduduk yang sekian lama berdepan kehilangan sumber pendapatan.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung kerana pengusaha, pemain industri sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi menjamin keselamatan pelancong,” katanya, memberi jaminan.

Pada masa sama Abdul Aziz turut melahirkan harapan kerajaan selepas ini memberi kelonggaran untuk semua rakyat Malaysia yang sudah melengkapkan dos vaksin melancong ke Terengganu.

“Memang kita berharap sangat, tambahan lagi Pulau Perhentian memang bergantung dengan pelancong luar terutama dari Kelantan kerana kedudukan yang bersempadan dengan negeri itu.

“Kerajaan negeri pun ada juga membuat permohonan, tapi itu semua bergantung kepada kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan sudah tentu memerlukan masa kerana banyak aspek harus dipertimbangkan dulu,” katanya.

Operasi Pulau Perhentian ditutup bermula bulan lalu susulan penularan 75 kes Covid-19 di lokasi peranginan itu.

Pemberian suntikan kedua kepada penduduk dan penggiat pelancongan di pulau berkenaan terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan keadaan pulih seperti sedia kala. – Getaran, 18 September 2021

Berkaitan ⇢