Kerakyatan Anak Lahir Luar Negara, Sultan Ibrahim Sokong Keputusan Mahkamah Tinggi

|

views

JOHOR BAHRU – Walaupun keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status kerakyatan anak warga Malaysia yang dilahirkan di luar negara dipertikaikan kerajaan Persekutuan, ia nyata menerima sokongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda turut menitahkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun untuk membatalkan pada kadar notis rayuan yang difailkan itu kerana beranggapan ia adalah diskriminasi terhadap mereka yang berhak.

“Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warga Malaysia yang melahirkan di luar negara perlu alami diskriminasi?

“Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya adalah warga Malaysia.

“Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka.

“Adakah ibu dan bapa ini mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza?,” titah baginda menerusi Facebook rasmi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada 9 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa anak yang dilahirkan oleh ibu warga Malaysia di luar negara secara automatik akan diberikan kerakyatan Malaysia, namun kerajaan Persekutuan bertindak memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan itu.

Sultan Ibrahim bertitah, semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

Titah baginda, adalah tidak wajar bagi kerajaan menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, apatah lagi Malaysia kini berdepan masalah serius iaitu kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

“Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah baginda. – Getaran, 18 September 2021

Berkaitan ⇢