Sarawak Rekod 20 Kematian COVID-19, Jumlah Korban Harian Tertinggi

|

views

KUCHING – Sarawak merekodkan sebanyak 20 kes kematian akibat COVID-19 hari ini, iaitu angka korban harian tertinggi sejak negeri itu mula dilanda pandemik berkenaan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kematian di Sarawak meningkat kepada 689.

Menurut beliau, kematian hari ini melibatkan 12 lelaki dan lapan wanita berusia antara 45 hingga 97 tahun.

“Daripada 20 kematian, tujuh meninggal dunia di Hospital Sibu manakala empat di Hospital Sri Aman.

“Tiga lagi pesakit masing-masing menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri, dua jenazah dibawa ke Hospital Serian dan satu di Hospital Bintulu,” katanya  hari ini.

Mengenai bilangan kes harian, jurucakap itu berkata, sejumlah 2,700 atau 99.74 peratus daripada 2,707 kes COVID-19 ialah kategori satu dan dua iaitu tiada gejala atau bergejala ringan.

“Empat kes melibatkan kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator), dua kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan satu kategori tiga (jangkitan paru-paru).

“Daerah Kuching kekal merekodkan kes harian tertinggi dengan 697, diikuti Bintulu (355), Sibu (333), Miri (228), Samarahan (165), Serian (162), Bau (144), Lundu (61), Asajaya (61), Saratok (55) dan Kapit (51),” ujarnya.

Lain-lain kes dicatatkan di Subis (49), Lawas (41), Sarikei (40), Simunjan (37), Pakan (29), Lubok Antu (19), Song (18), Beluru (18), Sebauh (17), Sri Aman (15), Limbang (15), Pusa (14), Tebedu (12), Selangau (11) dan Kanowit (10), Belaga (8), Mukah (7), Tatau (7), Betong (6), Bukit Mabong (6), Julau (5), Marudi (5), Meradong (4) dan Telang Usan (2).

Sarawak mencatatkan jumlah keseluruhan 179,788 kes setakat ini. – Getaran,19 September 2021

Berkaitan ⇢