Swab besar besaran di titik panas COVID-19

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Calitan atau swab COVID-19 secara besar-besaran dirancang akan terus dilakukan di kawasan titik panas koronavirus di negara ini tanpa mengehadkan pelaksanaannya dalam seminggu.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara itu semasa sesi soal jawab mengenainya pada sidang media jangkitan COVID-19 di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Bahagian Kawalan Penyakit dan Pusat Kesihatan akan mempertimbangkan kawasan titik panas COVID-19 dan agensi berkenaan akan memberikan notis awal kepada orang-orang di tempat terbabit untuk bersiap sedia sebelum mereka dibawa ke pusat swab, jelas Yang Berhormat Dato.

Menurutnya lagi, di samping kawasan titik panas atau tempat pekerja, kawasan perumahan juga tidak akan terkecuali menjadi tumpuan bagi swab besar-besaran ini.

Beliau turut memuji kejayaan dan kerjasama yang diberikan oleh lebih 300 pekerja di kawasan Rimba yang menjadi tumpuan operasi swab besar-besaran pertama malam tadi.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada agensi bertugas dan pekerja di sana atas kerjasama melancarkan pelaksanaannya semalam.

Pada sidang media Sabtu lalu, Yang Berhormat Dato mengatakan swab besar-besaran akan menyasarkan tempat tinggal yang mempunyai penghuni yang ramai terutama tempat tinggal pekerja.

Swab besar-besaran melibatkan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang akan dilaksanakan secara berperingkat dan dilanjutkan dari semasa ke semasa mengikut keadaan kawasan titik panas tersebut.

Sehubungan itu, orang ramai dan pekerja diingatkan tidak merasa cemas atau risau dengan kedatangan anggota agensi tersebut yang mana ini adalah untuk memudahcara bagi mereka membuat ujian swab.

Pelaksanaan swab besar-besaran di kawasan Rimba malam kelmarin. – Gambar dari WhatsApp

Anggota polis dan tentera turut membantu pada pelaksanaan swab besar-besaran di Rimba kelmarin. – Gambar dari WhatsApp

Berkaitan ⇢