Jemaah menteri tak rayu keputusan mahkamah berkaitan Undi 18 dan automatik

|

views

Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Disember nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perkara itu telah dipersetujui menerusi mesyuarat 10 September lalu.

Katanya, kerajaan Persekutuan akur dengan keputusan terbabit dan akan merintis usaha terbaik bagi memastikan pendaftaran Undi 18 secara automatik dapat dilaksanakan lebih awal.

“Saya sebenarnya sudah baca laporan yang berlaku di Kuching dan dapati bahawa dari sudut perundangan, tiada perbezaan pendirian antara Peguam Negara dan mahkamah, hanya yang tinggal memendekkan masa sahaja, sebab dalam program awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaan dijangka menjelang September 2022.

“Tetapi hakim arahkan untuk siap pada 31 Disember 2021, justeru saya sudah bincang dengan SPR dan kita akan patuh kepada arahan mahkamah, malah Jemaah Menteri pada 10 September putuskan untuk tidak buat rayuan terhadap keputusan hakim,” katanya pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (PH-Puchong) berhubung pendirian kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching terhadap perkara terbabit.

Menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) berhubung perincian pelaksanaan Undi 18 yang ketika ini mempunyai tempoh sekitar tiga bulan sebelum dilaksanakan, Wan Junaidi berkata siri perbincangan sudah dilakukan dengan SPR, justeru Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik akan dilakukan secara seiring.

“Undi 18 dan daftar pemilih secara automatik kena bersekali, tidak boleh dipisahkan kerana kalau berasingan, kita kena pinda pula sekali lagi Perlembagaan Persekutuan. Justeru, perbincangan sudah dibuat dengan SPR.

“Kita akan berusaha sehabis baik untuk laksanakan apa yang mahkamah putuskan, tetapi libat urus dengan sekolah di seluruh negara mungkin tidak dapat dibuat seperti dijadualkan kerana ia dijangka memerlukan tempoh tiga bulan,” katanya.

Sidang dewan diberitahu, beberapa sekolah tertentu akan dipilih bagi tujuan berkenaan yang dijangka mengambil tempoh sebulan berbanding jadual asal. – Getaran, 21 September 2021

Berkaitan ⇢