Brunei catat kes jangkitan harian tertinggi

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 214 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 5,261 orang.

Terdapat 44 tambahan kes baharu kepada 13 kluster aktif sedia ada yang mana kes dalam kluster-kluster aktif tersebut adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, terdapat tujuh kluster baharu telah dikesan.

“Kluster-kluster baharu ini ialah Kluster 3440 yang mengandungi empat kes baharu; Kluster 4323 yang mengandungi tiga kes baharu; Kluster 4944 yang mengandungi 15 kes baharu; Kluster 4868 mengandungi 10 kes baharu; Kluster 4917 mengandungi 12 kes baharu; dan Kluster Hua Ho Manggis Mall yang mengandungi 12 kes baharu,” jelas Yang Berhormat Dato semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau lagi, kesemua kluster baharu itu juga mengandungi kes-kes yang telah dilaporkan sebelum ini sebagai kes yang belum dikenal pasti sumber jangkitannya.

“Sementara itu, satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Rimba Kompleks yang mengandungi tujuh kes baharu adalah hasil daripada operasi mass swabbing yang telah dijalankan pada 18 September lalu,” jelas beliau.

Penyiasatan lanjut dan tindakan susulan seperti kuarantin bagi kontak terdekat sedang dijalankan bagi kluster itu.

Dalam pada itu, dua kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaaan selama 28 hari.

Kluster-kluster yang ditutup ialah Kluster 362 dan Kluster 1257, dengan itu, jumlah kluster aktif pada masa sekarang adalah sebanyak 95 kluster.

Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa terdapat satu kes import dicatatkan pada hari ini yang tiba di Negara Brunei Darussalam dari Singapura pada 14 September lalu dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI 422.

Pada ketika ini, terdapat 106 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

Dalam pada itu, 118 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 3,575 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,652 kes.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, lapan kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” jelas Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, 22 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,724 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 307,015 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]

Berkaitan ⇢