Mahu selamatkan isteri, suami tak kisah telinga parah digigit peragut

|

views

KOTA BHARU – Seorang lelaki sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan isteri daripada menjadi mangsa ragut dalam kejadian di Kampung Binjai di sini, jam 5.45 pagi kelmarin.

Keberanian lelaki berkenaan, Mohd Hanif Hilmi, 29, menerima pengiktirafan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang turut menyampaikan sijil penghargaan.

Mohd Hanif berkata, dia sama sekali tidak memikirkan keselamatan diri kerana niatnya hanya mahu menyelamatkan isteri, yang nyaris menjadi mangsa ragut sebaik menuruni tangga bas ekspres.

Katanya, dia yang memandu kereta terus mengejar peragut bermotosikal tersebut untuk menghalangnya daripada melarikan diri.

“Ketika bergelut, peragut menggigit telinga kiri saya hingga mendatangkan kecederaan yang agak parah dan terpaksa menerima tujuh jahitan.

“Namun, saya bersyukur kerana ada dua lelaki di lokasi kejadian tampil membantu, dan bersama-sama menangkap peragut sebelum menyerahkan kepada pihak polis,” katanya yang menerima sijil penghargaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafien berkata, suspek yang berusia 29 tahun itu ditahan selepas cuba meragut beg seorang wanita ketika mangsa baru sahaja menuruni tangga bas ekspres.

Katanya, suspek yang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana patah tangan kanan dan cedera di kedua-dua lutut dipercayai aktif melakukan kegiatan samun serta ragut sejak tujuh tahun lalu.

“Suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan siasatan awal dipercayai lelaki itu terbabit dalam empat kes yang hampir sama modus operandinya di sekitar Kota Bharu awal tahun ini.

“Dengan penangkapan ini, kita dapat menyelesaikan lima kes samun dan ragut, dipercayai dilakukan suspek. Lelaki itu direman selama enam hari bermula semalam sehingga 26 September ini untuk siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.

Shafien memberitahu, modus operandi suspek adalah dengan mencari mangsa yang tinggal keseorangan terutama di sekitar stesen bas atau kawasan sunyi lain.

Susulan kejadian, beliau turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan wanita agar mengelakkan diri daripada berada di kawasan sunyi.

“Tahun lalu terdapat 20 kes samun atau ragut dengan menggunakan modus operandi yang hampir sama iaitu mencari mangsa di tempat yang sunyi,” katanya. – Getaran, 21 September 2021

Berkaitan ⇢