2 pemancing dikhuatiri lemas, saksi dengar bunyi jeritan

|

views

Dua lelaki yang sedang memancing di Jeti Mados, Kampung Air Putih di sini, dikhuatiri lemas selepas hilang dari lokasi itu, malam tadi. 

Dalam insiden itu, kedua-dua mangsa, Ramdan Sulaiman, 50 dan Amiruddin Abdul Malik, 53, dilaporkan hilang dari bot yang dinaiki.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai Komander Operasi yang juga Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Al Hasra Mohamed dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.47 malam tadi.

Menurut Al Hasra, kejadian itu disahkan berlaku sebaik Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian.

“Jarak bot ditemui dari jeti dianggarkan kira-kira 400 meter dan kedalaman 15 meter. PKO bertindak membuat pencarian pada permukaan air dengan dibantu 11 anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

“Lapan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bomba juga berada di lokasi bagi menjalankan pencarian di lokasi berkenaan.

“Aktiviti menyelam juga dilakukan pada jarak 100 kaki radius dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya.

Beliau berkata, seorang pekerja korek pasir berhampiran lokasi mengesahkan melihat kedua-dua mangsa sedang melakukan aktiviti memancing.

“Selang beberapa ketika, saksi mendengar jeritan meminta tolong berhampiran bot mangsa, sebelum mendapati kedua-duanya lenyap daripada pandangan tidak lama kemudian,” katanya.

Sehingga kini, katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari masih dijalankan. – Getaran, 21 September 2021

Berkaitan ⇢