DUN Sabah, Pembangkang tuntut kuasa autonomi negeri dikembalikan

|

views

KOTA KINABALU – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sekali lagi menuntut kuasa autonomi Sabah dikembalikan seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menerusi perbahasan dasar kerajaan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, hari ini, Mohd Shafie (WARISAN-Senallang) menegaskan tuntutan tersebut demi kepentingan rakyat Sabah sendiri.

“Sabah seharusnya diberi kuasa menguruskan hasil balak, minyak, gas dan lain-lain.

“Kita harus menuntut royalti minyak 20 peratus kerana 37 peratus minyak di negara ini diperoleh daripada Sabah. Namun, sejak 1974 hingga sekarang, perkongsian masih memihak 95 peratus kepada Persekutuan manakala Sabah hanya memperoleh lima peratus,” katanya.

Tegas beliau, pemimpin negeri ini harus menuntut hak tentang isu berkaitan Sabah bukan kerana kepentingan diri, tetapi demi rakyat di peringkat akar umbi.

“Lihat sahaja kejadian tanah runtuh yang berlaku di Sembulan baru-baru ini. Tidak seorang pun (menteri Persekutuan) datang melawat, (sedangkan) di Selangor menerima RM1juta bagi memperbaiki kawasan tanah runtuh tapi, kita nampak berapa peruntukan diberi kepada Sabah?

“Dalam pada itu, baki empat tuntutan dalam MA63 perlu diselesaikan dengan kadar segera demi kepentingan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sidang DUN diberitahu, kerajaan Persekutuan harus menyemak semula jumlah peruntukan khas yang terlalu sedikit diberikan kepada Sabah dan mengembalikan 40 peratus hasil kepada negeri ini.

“Saya menggesa hasil pelancongan yang diberikan kepada Sabah disemak semula dengan menggunakan formula 40 peratus daripada jumlah hasil perolehan seperti termaktub dalam MA63.

“Begitu juga dengan pemberian lesen penangkapan laut dalam yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan juga perlu dikembalikan kepada Sabah,” kata Shafie lagi.

Sebagai rekod, tunggakan peruntukan khas yang perlu diberikan kepada Sabah sudah mencecah RM50 bilion sejak tahun 1974.

Bekas Ketua Menteri itu berkata, isu pertindihan dari aspek pentadbiran tidak akan timbul sekiranya MA63 dilaksanakan.

“Sabah akan mempunyai kuasa untuk mentadbir wilayah Sabah dan Persekutuan mentadbir hal-hal di bawah bidang kuasanya,” katanya.

Sementara itu, Sidang DUN Sabah yang memasuki hari kedua, ditangguhkan jam 3.32 petang tadi, seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan pandemik COVID-19.

Persidangan akan disambung semula esok pada jam 10 pagi. – Getaran, 22 September 2021

Berkaitan ⇢