Selain ‘Staycation’, Berkhemah Atau ‘Glamping’ Pun Seronok

|

views

Selain memilih staycation di hotel, ramai juga yang mula mencari-cari lokasi percutian untuk berkhemah atau glamping untuk melarikan diri seketika daripada rutin harian membosankan.

Kedua-dua aktiviti rekreasi ini semakin mendapat perhatian sehingga pihak berkuasa perlu membuat pemantauan kerana banyak kawasan perkelahan air terjun diserbu oleh pengunjung sehingga tiada penjarakan sosial.

Bagaimanapun, masih ada kawasan persendirian yang boleh anda kunjungi untuk pengalaman percutian yang lebih menyeronokkan. Ingat, tujuan bercuti adalah untuk berehat, bukan bersesak-sesak.

Bayangkan, dengan berlatarkan alam semulajadi yang menghijau, anda boleh mandi-manda di tepi sungai, minum kopi panas di kedinginan malam serta boleh BBQ dengan keluarga atau teman-teman rapat.

Jom semak, di mana lokasi perkhemahan atau glamping yang boleh diterokai.

1) Tadom Hill Resorts – Selangor Semenjak dibuka beberapa tahun dahulu, resort ini popular dalam kalangan mereka yang gemarkan aktiviti outdoor yang dikelilingi alam semulajadi. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini ialah flying fox, memandu ATV, abseiling, memanah, dan juga mandi-manda di Emerald Lake.

Terletak di Kg. Labohan Dagang, Banting, Selangor, Tadom Hill Resorts ni sebenarnya terletak di tanah orang asli. Oleh kerana itulah, kawasan sekelilingnya masih terjaga. Untuk merasai pengalaman berkhemah di sini, tidak perlu bawa khemah sendiri, sebaliknya boleh menyewa penginapan yang telah tersedia.

Pilihlah Eco tent yang boleh memuatkan dua orang dalam satu masa untuk menikmati pengalaman glamping dengan pemandangan tepian tasik. Tak perlu risau dengan keselesaan kerana tilam, beg tidur, dan bantal turut tersedia. Jadi, anda boleh tidur lena sambil didodoikan dengan nyanyian alam. Bilik air dan tandas pula terletak di bahagian luar.

Jika mendambakan pengalaman lebih unik, apa kata anda sewa unit-unit hammock yang boleh menempatkan sehingga 10 orang dalam satu-satu masa. Percayalah, tempat tidur berkonsep terbuka ini cukup menyeronokkan. Lebih-lebih lagi jika anda ditemani beberapa orang rakan. Setiap unit hammock dilengkapi dengan beg tidur, kelambu dan juga suis elektrik individu. Kemudahan bilik air dan tandas juga tersedia berhampiran.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web Tadom Hills Resort.

Kredit foto : @tadomhillresorts

2) Tanah Aina Fahad, Raub Pahang Cinta pandang pertama. Majoriti mereka yang pernah sampai ke sini akan jatuh cinta dengan kedamaian dan keindahan alam yang terpampang di depan mata. Membawa diri ke sini bermakna anda sudah bersedia menyembunyikan diri dari dunia luar. Lupakan gajet atau skrin televisyen buat seketika. Di sini tempatnya untuk anda bersatu dengan alam. Dengarkan nyanyian unggas dan deruan sungai yang mendamaikan.

Persekitaran resort diuruskan dengan baik. Lebih menyeronokkan jika anda ke sini ketika musim buah-buahan. Rambutan, manggis dan durian terhidang di atas meja ketika minum petang.

Antara penginapan yang terdapat di sini adalah King Tent, Queen Tent dan Normal Tent. Setiap khemah dilengkapi katil bujang atau kelamin, rak baju, meja sisi dan lampu tidur.

Tanah Aina Fahad menyediakan aktiviti meredah hutan, mandi-manda di kawasan sungai dan trekking ke kawasan air terjun.

Layari http://www.tanahaina.com/fahad/ untuk maklumat lanjut.

Kredit foto : https://www.tanahaina.com/fahad/

3) Moon Kissed by The River Tapak perkhemahan yang terletak di Sungai Semungkis, Hulu Langat ini mula dibangunkan pada Februari 2021 dan dibuka kepada orang ramai bermula April lalu. Dek kerana itulah, masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudannya. Namun, semenjak rentas daerah dibenarkan baru-baru ini, tempat rekreasi yang menyediakan kemudahan glamping dan perkhemahan ini mula menjadi perhatian ramai.

Tempat ini sangat sesuai jika anda mahu datang bersama keluarga mahupun teman-teman.Terdapat dua jenis khemah yang disediakan, iaitu khemah biasa dan khemah glamping yang  dilengkapi dengan pelbagai kemudahan  termasuklah tilam,  rak penyidai baju, karpet, kipas dan juga  air cooler. Bahkan, hammock, meja kerusi, tempat BBQ persendirian juga tersedia jika anda memilih unit glamping.

Jadi tak perlu berebut dengan tetamu tetamu lain. Boleh masak dan makan mengikut waktu yang anda mahu. Untuk maklumat lanjut anda boleh intai akaun Instagram mereka @moonkissedbytheriver

Kredit foto :@moonkissedbytheriver

4) Canopy Villa Glamping Park Pada acara Malaysia Tourism Heroes 2020, Canopy Villa Glamping Park dianugerahkan ‘certificate of excellence’ atas sumbangan kepada Malaysia Tourism Gold Summit 2020 yang berlangsung pada 11 hingga 13 November 2020. Terletak di Kampung Janda Baik, Pahang, lokasi percutian ini menjadi rebutan warga kota Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu.

Bermalam di khemah-khemah mewah di sini memberi satu pengalaman yang cukup menyeronokkan. Di kelilingi pemandangan alam yang menghijau, tidur malam di sini pasti lena. Maklumlah tilam dan bantal yang tersedia juga empuk. Kedinginan malam memaksa diri menarik selimut untuk mengembara ke alam mimpi indah.

Antara aktiviti yang boleh anda ikuti di sini ialah, memandu ATV, memancing di kolam yang terletak berhampiran khemah, trekking ke air terjun , berbasikal ataupun melawat tarikan-tarikan berhampiran seperti Genting Highland, kolam air panas, ladang strawberi dan Bukit Tinggi.

Satu lagi kelebihan yang dimiliki tempat ini ialah ia dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan seperti rambutan, manggis, durian dan langsat. Kalau bercuti ke sini pada musim buah-buahan pasti lebih seronok bukan?

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, boleh lihat akaun Facebook mereka. – Getaran, 23 September 2021

Gambar: Facebook Canopy Villa Glamping Park

Berkaitan ⇢