201 kes baharu, lima lagi kluster direkodkan

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan sebanyak 201 kes baharu jangkitan COVID-19 dan lima lagi kluster terkini turut direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 5,586 orang.

Terdapat 79 tambahan kes-kes baharu kepada 17 kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, terdapat lima kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Eden Garden Contractor yang mengandungi 13 kes baharu; Kluster 5404 terdiri daripada lima kes baharu; Kluster 5429 mengandungi sembilan kes baharu; Kluster 5441 yang ada lima kes baharu; dan Kluster 5445 ada enam kes baru.

Beliau turut mengisytiharkan penamatan satu kluster setelah tiada lagi kes baharu dikesan dalam kluster itu dalam masa 28 hari, iaitu Kluster 495. Sehubungan itu, jumlah kluster aktif pada masa ini ialah sebanyak 100 kluster, manakala 84 kes masih dalam siasatan sumber jangkitannya.

“Dalam pada itu, 93 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 3,770 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,779 kes.

“Di kalangan kes-kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, lapan kes adalah dalam Kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif. Kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 26 kes lain dikategorikan dalam Kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” terang Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Menyentuh mengenai ujian sampel bagi virus SARS-CoV-2 dalam tempoh 24 jam lalu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa sebanyak 5,195 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 317,241 ujian.

“Di kesempatan ini, marilah kita sama-sama memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah SWT, mudah-mudahan kitani semua dilindungi daripada segala perkara yang tidak diingini dan diberikan petunjuk semoga apa saja yang kitani lakukan mendapat keredhaan dariNya jua.

“Marilah kita juga mendoakan agar kesemua pesakit khususnya pesakit COVID-19 diangkat penyakitnya dan diberikan kesembuhan secepatnya. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, bolehlah melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada [email protected]

Berkaitan ⇢