Bot karam di Sungai Padas, mayat kanak-kanak ditemui

|

views

KOTA KINABALU – Mayat kanak-kanak yang dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam di Sungai Padas, Tenom, lewat semalam, ditemui oleh orang awam, petang tadi.

Mangsa yang berusia 12 tahun dan dikenali sebagai Melvin Junaidi dijumpai sekitar jam 4.45 petang, di Sungai Padas Batu 60, Beaufort, lebih kurang 33 kilometer dari lokasi bot karam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Misran Bisara berkata, mayat mangsa dibawa ke Kampung Binunuk untuk proses pengecaman keluarga sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) insiden bot karam di Kampung Kalandos Pangi bersama-sama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah ditangguhkan pada jam 4 petang tadi.

“Operasi SAR akan disambung esok bagi mencari seorang lagi mangsa, Joseph Sayah, 55, yang masih hilang,” katanya.

Dalam nahas sekitar jam 4 petang semalam itu, bot dinaiki empat mangsa untuk pulang ke rumah selepas selesai membeli barang keperluan di Pekan Tenom tiba-tiba terbalik dipukul arus ketika menyeberangi Sungai Padas.

Dua daripada empat individu yang berada di atas bot, iaitu seorang lelaki warga emas dan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri, manakala dua lagi mangsa hanyut dibawa arus. – Getaran, 23 September 2021

Berkaitan ⇢