‘All Hail Mosh King’ Penghormatan Istimewa Buat Peminat Hacktick!

|

views

Berasal dari Kelang, Hacktick! ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 dan dianggotai lima anak muda iaitu Hyke (vokal/gitar), Ash (bass), Zul (dram), Mun (gitar) dan Mo (synthesizer).

Kugiran popular barat seperti blink-182, Green Day dan Four Year Strong mempengaruhi gaya muzik Hacktick! yang mengetengahkan genre pop punk.

Hacktick! bergiat aktif di dalam indie scene tempatan sekitar tahun 2016 dan dari situ kugiran ini mula menempa nama, memikat hati para peminat muzik serta menjadi bualan hangat mereka yang sering menghadiri gig.

Tahun 2019 merupakan tahun yang begitu bermakna untuk Hacktick!. Mereka telah diberi peluang membuka tirai persembahan untuk kugiran-kugiran popular tempatan seperti Bunkface, Oh Chentaku, Johny Comes Lately dan One Buck Short.

Pada tahun tersebut mereka bukan sahaja sering membuat penampilan di kaca televisyen, malah menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia membuat persembahan bersama Budak Nakal Hujung Simpang dan Leaism.

Hyke ketika dihubungi menjelaskan versi akustik lagu ‘All Hail Mosh King’ pada mulanya dirakamkan untuk kaset mixtape Tapau Fest 2019– kompilasi lagu-lagu kugiran yang mengambil bahagian membuat persembahan di festival tersebut pada tahun itu.

Vokalis dan pemain gitar Hacktick!, Hyke
Vokalis dan pemain gitar Hacktick!, Hyke

Mereka membuat keputusan mengeluarkan lagu tersebut sebagai single kerana merasakan sudah sekian lama mereka menyepi sejak pandemik melanda.

Lagu yang dirakam di dalam kamar tidur Hyke ini diserikan dengan gesekan celo rakan mereka, Azreena Aziz. Single ini juga dilancarkan untuk membina momentum kepada album sulung mereka yang bakal dikeluarkan pada tahun hadapan.

Menurut Hyke, lagu ‘All Hail Mosh King’ menceritakan tentang suka duka mereka sebagai sebuah kugiran.

Ia mengutarakan persoalan sama ada liku-liku perjalanan bermuzik ini berbaloi atau tidak dan akhirnya menemui jawapan apabila menyedari bahawa selagi mereka mempunyai satu sama lain, segalanya pasti baik-baik sahaja.

Pada pendapat penulis, apa yang begitu istimewa sekali tentang single ini ialah video muziknya. Hacktick! membuat kompilasi coretan-coretan visual dari arkib mereka yang mengimbau kenangan dan juga keceriaan membuat persembahan langsung di kala sebelum merebaknya wabak COVID-19.

Video muzik tersebut memberi penghormatan khusus kepada para peminat Hacktick! Ia turut memuatkan coretan wajah-wajah para peminat mereka yang begitu setia menyokong dan tidak jemu memberi semangat kepada kugiran ini untuk terus berkarya.

“Sejujurnya, saya tidak dapat melihat diri saya tanpa Hacktick! Memang impian saya untuk meniti usia bersama kugiran ini.

“Setelah sekian lama mengharungi bermacam jenis kepayahan dan berjaya memperoleh momentum dan sokongan peminat, sayang rasanya jika kami berhenti begitu sahaja.

“Pada asasnya kami ingin terus berkarya dan menggapai kehidupan bermakna yang kami idamkan. Ketekunan dan usaha adalah tangga kejayaan.

“Kami bernekad untuk tidak membiarkan pandemik membunuh impian kugiran kami.

“Walaupun terpaksa menempuh keperitan kesan pandemik, pengalaman ini membuat kami lebih kuat, lebih tekad dan akan terus cuba memberi inspirasi kepada semua orang melalui karya kami,” cerita Hyke dengan panjang lebar.

Hacktick!
Hacktick!

Pesan Hyke kepada para peminat Hacktick! dan rakyat Malaysia sebelum mengakhiri perbualan, “Memang kita belum okey, tapi terima kasih kerana terus hidup.”

Sememangnya kekuatan azam anak-anak seni yang terus berusaha berkarya pada waktu yang tidak menentu ini patut diberi sokongan dan pujian.

Hacktik! pastinya tergolong dalam kalangan anak-anak seni yang membuktikan mereka tidak tewas atau patah semangat meskipun dibelenggu pandemik. – Getaran, 24 September 2021

Fakta menarik: Kugiran Hacktick! mempunyai enam anggota juruteknik yang membantu melancarkan persediaan setiap persembahan. Mereka digelar Hacktechs! 

Semua gambar: Ihsan Hacktick!

Berkaitan ⇢