Indeks Harga Pengguna bulan Ogos naik 2.0 peratus tahun ke tahun – Perangkaan

|

views

KUALA LUMPUR — Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menunjukkan peningkatan 2.0 peratus tahun ke tahun pada bulan Ogos 2021 kepada 122.5 berbanding 120.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

IHP merekodkan kenaikan untuk bulan ketujuh berturut-turut semenjak Februari 2021 disebabkan oleh kesan asas pada tahun lepas.

Mengulas mengenai laporan berkenaan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kumpulan pengangkutan terus mencatat kenaikan dua-digit sejak Mac dan terus meningkat 11.0 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata indeks makanan dan minuman bukan alkohol mengembang 1.2 peratus tahun ke tahun dan indeks makanan di luar rumah meningkat 1.0 peratus tahun ke tahun.

“Sementara itu, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain merekodkan kenaikan marginal sebanyak 0.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Mohd Uzir menambah kumpulan lain yang turut merekodkan kenaikan adalah hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus tahun ke tahun); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus tahun ke tahun) dan restoran dan hotel (0.6 peratus tahun ke tahun).

Indeks komunikasi dan pendidikan kedua-duanya kekal tidak berubah, manakala kesihatan meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus berbanding 12 bulan yang lepas.

Dalam tempoh kajian, minuman alkohol dan tembakau meningkat 0.4 peratus tahun ke tahun, sementara indeks pakaian dan kasut serta pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing menurun sebanyak 0.4 peratus dan 0.6 peratus.

Beliau juga berkata IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 menunjukkan peningkatan 2.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan bulanan, IHP tidak berubah berbanding Julai 2021.

Menurutnya lagi, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, masing-masing menambah 0.1 peratus bulan ke bulan.

Penetapan harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol oleh kerajaan berkuat kuasa 1 Ogos 2021 sedikit sebanyak telah meredakan inflasi bagi subkumpulan minyak dan lemak kepada -0.4 peratus daripada 0.2 peratus pada Julai 2021.

Sementara itu, Mohd Uzir turut menyatakan indeks teras yang meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali item makanan segar yang mempunyai harga tidak menentu serta harga yang dikawal, meningkat 0.6 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2021.

Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (1.7 peratus); pengangkutan (0.7 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (0.7 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus); restoran dan hotel (0.6 peratus) dan kesihatan (0.3 peratus).

IHP tanpa bahan api meningkat 0.5 peratus pada Ogos 2021 kepada 113.2 berbanding 112.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, petrol tanpa plumbum RON97 dan diesel.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata enam negeri iaitu Terengganu (2.6 peratus), Sarawak (2.4 peratus), Pahang (2.4 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.1 peratus) dan Kedah dan Perlis (masing-masing 2.1 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 2.0 peratus pada Ogos 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Berkaitan ⇢