Hilang 8 hari, rupanya sudah mati seminggu

|

views

KULIM – Selepas hilang selama lapan hari, seorang wanita ditemui dalam keadaan menyayat hati, apabila dipercayai telah meninggal dunia lebih seminggu lalu akibat terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, mayat mangsa, L. Hemavathi, 43, ditemui oleh sepasukan anggota polis bersama beberapa ahli keluarga mangsa yang membuat pencarian di Jalan Batu Puteh, menuju ke Sungai Kob dekat sini kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa ditemui terperangkap dalam kereta Honda Jazz miliknya yang terbalik dalam parit besar dan dikelilingi semak-samun.

“Kereta mangsa dipercayai terbabas lalu terjunam masuk ke dalam parit yang terlindung daripada pandangan. Tiada kesan brek atas jalan manakala kereta remuk teruk, terutamanya di bahagian bumbung dan depan.

“Dengan bantuan bomba, kenderaan itu berjaya dibuka. Mayat didapati telah berbau dengan tempoh kematian dianggarkan melebihi tujuh hari,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menurut Sazalee, mangsa yang telah kematian suami pada 2008 dan tidak mempunyai anak, dilaporkan hilang pada 16 September lalu setelah keluar untuk ke kuil kira-kira jam 8 pagi.

“Kecederaan mangsa tidak dapat dipastikan secara kasar kerana rupa fizikalnya telah terjejas. Barang kemas miliknya iaitu rantai leher, rantai tangan, cincin dan pakaian asal, masih berada padanya seperti ketika dia dilaporkan keluar dari rumah di Kampung Banggol Penyengat, Karangan pada 16 September lalu.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak memakai tali pinggang keledar manakala ‘air bag’ pula berfungsi. Kerosakan kereta setakat ini dipercayai kerana terbabas manakala siasatan teknikal lain akan diteruskan di  Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sungai Petani untuk bedah siasat. – Getaran 24 September 2021.

Berkaitan ⇢