BANDAR SERI BEGAWAN – Bermula esok, 25 September jam 6 petang, hanya mereka yang mempunyai aplikasi BruHealth di telefon bimbit masing-masing atau mereka yang berkongsi aplikasi BruHealth bersama orang lain yang dikenali seperti penjaga, majikan, pengurus atau rakan sahaja yang dibenarkan keluar rumah.

Sebagaimana peruntukan di bawah Bab 62A Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa sesiapa yang gagal mematuhi arahan ini akan dikenakan tindakan undang-undang.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato juga mengingatkan orang ramai untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak keluar rumah tanpa tujuan yang penting dan jika perlu keluar rumah untuk tidak pergi ke tempat-tempat sesak serta mengamalkan penjarakan fizikal.

“Di samping itu juga, orang ramai diingatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan diri seperti memakai pelitup muka, membersihkan tangan dan etika bersin dan batuk yang betul,” jelasnya lagi.