Tiga pesakit meninggal dunia

|

views

BANDAR SERI BEGAWAN – Tiga lagi pesakit yang disahkan positif COVID-19 di negara ini telah kembali ke rahmatullah, hari ini.

“Kes pertama ialah seorang lelaki berumur 84 tahun yang merupakan Kes 4796, kes kedua ialah seorang perempuan berumur 32 tahun yang merupakan Kes 2688 dan kes ketiga ialah seorang lelaki berumur 42 tahun yang merupakan Kes 5022.

“Kes 4796 dan Kes 5022 telah mengalami beberapa masalah kesihatan dan kedua-duanya tidak dikategorikan sebagai kematian disebabkan oleh jangkitan COVID-19.

“Manakala, kes 2688 telah mengalami masalah paru-paru setelah dijangkiti COVID-19,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, Yang Berhormat Dato turut mengatakan tidak akan mengongsikan butiran peribadi kes-kes berkenaan demi menjaga kerahsiaan dan menghormati privasi keluarga para pesakit.

“Orang ramai juga dipohonkan untuk sama-sama menghormati dan tidak menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kes-kes tersebut,” pohon Yang Berhormat Dato.

“Di kesempatan ini, saya mewakili warga Kementerian Kesihatan dan keseluruhan rakyat Negara Brunei Darussalam mengucapkan takziah kepada keluarga kes-kes berkenaan.

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama para solihin. Al- Fatihah,” katanya lagi.

Berkaitan ⇢