2 Pendaki Sesat Ditemui Selamat

|

views

KULAI – Selepas lebih lima jam tidak menemui jalan keluar ketika mendaki kawasan Gunung Pulai di sini, akhirnya dua lelaki ditemui dalam keadaan selamat oleh pihak bomba.

Muhammad Syazwan Kamarulzzaman, 25 dan Muhammad Fadzrel Haziq Mohd Farid, 16, sebelum itu dilaporkan sesat kira-kira jam 5.30 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Wan Mohd Azrul Wan Mahamad Shaf’ii berkata, gerakan mencari dan menyelamat terus dilancarkan menggunakan sebuah jentera FRT, EMRS dan pacuan empat roda Hilux dengan kekuatan lapan anggota, sebaik menerima panggilan kecemasan melalui talian terus ke balai.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kami dimaklumkan oleh saudara mangsa bahawa terdapat dua lelaki dewasa sesat ketika melakukan aktiviti mendaki.

“PKO bertindak menghubungi talian telefon mangsa bagi menjejaki lokasi semasa mangsa, tetapi rangkaian telefon tidak jelas,” katanya.

Menurut beliau, selepas membuat pencarian menyeluruh, kedua-dua mangsa dijumpai dalam keadaan selamat di kawasan Jeram Kulai dekat kaki Gunung Pulai, kira-kira jam 10.45 malam tadi.

Katanya, kedua-dua mangsa itu kemudian dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini, untuk pemeriksaan kesihatan secara lanjut.

Getaran difahamkan, operasi ditamatkan kira-kira jam 1.15 pagi selepas semua keadaan dipastikan selamat.

Berkaitan ⇢