Kekerapan cabutan khas nombor ramalan tindakan mundur – Anwar Ibrahim

|

views

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan kerajaan menambah kekerapan cabutan khas agensi nombor ramalan sebagai tindakan mundur dan sangat membingungkan.

Beliau berkata, keputusan itu berbeza dengan tindakan dilaksanakan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang mengurangkan kekerapan cabutan khas agensi berkenaan.

“Kebenaran syarikat nombor ramalan melaksanakan 22 cabutan khas judi sangat membingungkan.

“Ia tindakan keterbelakang kerana perkara itu dikurangkan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat seperti sedutan video dan ciapan dikongsikan di Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang bangun ‘memerli’ kerajaan ketika Anwar sedang menyampaikan bahas.

“Janganlah hina kerajaan, kan ulama banyak kan dalam kerajaan, boleh nasihat.

“Ini menghina kerajaan yang disokong ulama ini kenapa?,” kata Mohamad sambil disambut tawa segelintir ahli dewan.

Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu mendapat reaksi Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman.

“Yang berhormat Kota Raja sudah sign (tandatangan) memorandum persefahaman (MoU) agaknya,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu.

Anwar kemudiannya mengatakan, tindakan menandatangani MoU tidak menghalang seseorang individu terbabit daripada mengkritik benda yang betul.

“Tentunya di antara sebab yang membaranya Kota Raja ini kerana judi ditambah 22 jadi yang ini bagi saya membingungkanlah.

“Tidak ada suara sunyi sepi lidah kelu tidak berkata entah sebab apa saya tidak faham,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini, mengesahkan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan kepada 22 kali sepanjang tahun 2021.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerusi jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat. – Getaran, 28 September 2021

Berkaitan ⇢