Mahu berkulit putih, wanita merana diperdaya perawat kecantikan palsu

|

views

KOTA BHARU – Gara-gara mahu mendapatkan kulit yang cerah, seorang ahli perniagaan wanita bukan sahaja kehabisan berpuluh ribu ringgit, tetapi turut menderita penyakit buah pinggang.

Wanita berusia 20-an itu menghabiskan RM95,000 bagi menjalani dua jenis rawatan kecantikan, dikenali sebagai ‘face jab’ dan ‘dripping’.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima laporan daripada mangsa yang juga ahli perniagaan di Tumpat.

Katanya, pada Ogos tahun lalu, mangsa ditawarkan oleh seorang wanita iaitu saudaranya sendiri yang mendakwa mempunyai kelayakan dan pengalaman untuk menjalankan rawatan pemutihan kulit.

Suspek katanya, turut mendakwa dia berkhidmat di sebuah pusat rawatan kecantikan terkemuka di ibu negara.

“Dalam tempoh dua bulan tahun ini, mangsa menjalani 17 rawatan di rumah suspek yang mendakwa memiliki sijil kelayakan dan mendapatkan ubat-ubatan dari pusat dia bekerja.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa membuat beberapa bayaran kepada suspek dengan jumlah keseluruhan RM95,000 bagi mendapatkan dua jenis rawatan iaitu ‘face jab’ dan ‘dripping’,” katanya di sini.

Menurut Shafien, mangsa pada Mac lalu mengalami masalah kulit yang teruk dan dimaklumkan telah diberi rawatan kecantikan yang salah.

“Pusat perubatan yang merawat mangsa juga memberitahu, dia kini berdepan risiko penyakit buah pinggang, kesan daripada rawatan kecantikan yang diambil,” katanya.

Shafien berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian menghubungi pusat rawatan kecantikan berkenaan, tetapi dimaklumkan bahawa suspek bukan petugas kecantikan itu.

Jelas beliau, mangsa juga dimaklumkan bahawa pusat rawatan tersebut tidak pernah membenarkan petugas memberikan rawatan kecantikan di luar premis.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki ditipu suspek. Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Susulan kejadian, Shafien turut  mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati termasuk membuat semakan terperinci, sebelum mendapatkan apa-apa jenis perkhidmatan rawatan dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang dakwaan termasuk daripada individu dikenali. – Getaran, 29 September 2021

Berkaitan ⇢