Jalankan bisnes bersama kekasih petanda nak melangkah ke fasa seterusnya? Ini respons Uyaina Arshad

|

views

Pelakon dan pengacara popular, Uyaina Arshad menafikan bisnes yang diusahakan bersama kekasihnya, penyanyi Raja Syahiran adalah sebagai persiapan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

Mengusahakan perniagaan gerai makanan King’s Eye di Masok Food Court, Kampung Baru, Kuala Lumpur, niat Uyaina dan Syahiran terlibat dalam bisnes adalah untuk membantu beberapa rakan menjana pendapatan.

“Pada mulanya, saya didekati oleh Alif Farhan yang mewakili kumpulan Floor 88. Mereka mula mengusahakan food court di Kampung Baru pada Disember tahun lalu.

“Awalnya, saya tak terfikir pun nak meniaga tapi kami mempunyai rakan dan sepupu yang ingin menjalankan perniagaan ini bersama-sama, apatah lagi dalam tempoh pandemik yang penuh mencabar ini.

“Mereka mempunyai pengalaman dalam bisnes makanan, jadi kami terfikir apa salahnya jika kami bergabung dengan mereka dalam menjalankan perniagaan

“Bisnes ini dijalankan bukanlah sebab kami nak melangkah ke fasa seterusnya. Niat kami memang nak bantu orang. Tapi, saya dan Syahiran akui semenjak kami mula berniaga, kami banyak belajar mengenai dunia perniagaan yang cuba bangkit dari pandemik,” kata Uyaina.

Gerai makanan King’s Eye di Masok Food Court, Kampung Baru menjual masakan seperti ‘chicken chop’ dan pelbagai jenis spaghetti.

Tambah juara pencarian Nona Manis 2015 ini, dia bersyukur keadaan semakin pulih dan pelanggan mula mengunjungi Masok Food Court.

“Lama juga kami bercuti kerana pelanggan tak boleh makan di gerai. Kami beralih kepada servis ‘food delivery’ ketika ‘lockdown’ berlangsung.

“Selepas kerajaan mula memberikan kebenaran ‘dine-in’ dengan menggariskan prosedur operasi standard (SOP), perniagaan dapat bernafas semula perlahan-lahan.

“Begitu juga dengan aktiviti seni. Alhamdulillah, semuanya kembali seperti biasa tetapi kami haruslah berjaga-jaga dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Uyaina bakal memasuki set penggambaran sebuah drama bersiri yang bakal menghiasi slot Samarinda TV3 pada Oktober ini.

Menerusi naskhah berjudul Kau Cipta Kasih itu, Uyaina bakal bergandingan dengan aktor Nazim Othman.

Berkaitan ⇢