COVID: Singapura Rekod 2,478 Kes Baharu, 2 Lagi Kematian Dilaporkan

|

views

SINGAPURA – Dua lagi warga emas meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan (MOH), malam tadi sambil menambah sebanyak 2,478 kes baharu dikesan.

Kedua-dua wanita yang meninggal dunia itu adalah penduduk tetap berusia 79 tahun dan warga Singapura berusia 87 tahun, yang belum divaksin terhadap COVID-19.

MOH menyatakan kedua-dua mereka mempunyai pelbagai penyakit sedia ada.

Kesemuanya 95 orang sudah meninggal dunia akibat komplikasi penyakit itu, termasuk 40 kematian yang dicatat bulan ini.

Menurut Berita Mediacorp, daripada 2,478 kes baru COVID-19 itu, 2,022 adalah kes dalam masyarakat. Lagi 452 adalah penghuni dormitori pekerja hijrahan dan empat adalah kes import.

Antara kes tempatan hari ini termasuk 535 warga emas berusia lebih 60 tahun, menurut MOH dalam kemas kini hariannya yang dikeluarkan kepada media pada pukul 11.00 malam.

Tiga daripada empat kes import dikesan semasa tiba di Singapura dan baki satu itu mula jatuh sakit semasa menjalani notis jangan keluar rumah atau pengasingan.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut Singapura melaporkan rekod jangkitan baru, setelah 2,268 kes baru diumumkan pada Rabu (28 Sep).

Setakat Khamis, Singapura mencatat jumlah terkumpul 96,521 kes koronavirus sejak bermulanya pandemik itu tahun lalu.

Seramai 1,360 pesakit sedang berada di hospital, dengan kebanyakannya beransur pulih dan dipantau, menurut MOH.

Dalam kalangan mereka termasuk 204 kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan 34 dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Antara mereka yang sakit teruk, 197 adalah warga emas berusia lebih 60 tahun.

Sepanjang 28 hari lalu, jumlah kes tempatan yang tidak bergejala atau mengalami simptom ringan adalah 98.1 peratus.

Dalam tempoh yang sama, 443 kes memerlukan sokongan oksigen dan 52 berada di ICU.

Daripada jumlah tersebut, 49.9 peratus sudah lengkap divaksin dan 50.1 peratus belum divaksin atau belum lengkap divaksin.

MOH menyatakan ia sedang “memantau secara teliti” 15 kelompok besar yang aktif, termasuk tujuh yang dimasukkan ke dalam senarai pada Rabu.

Ini termasuk enam dormitori pekerja hijrahan dan sebuah rumah jagaan. – Berita Mediacorp

Berkaitan ⇢