560 murid dalam kuarantin duduki PSLE; prosedur ‘boleh diperbaiki’ kata ibu bapa

|

views

SINGAPURA: Sekitar 560 murid yang sedang menjalani perintah kuarantin mengambil kertas pertama Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada Khamis (30 Sep), menurut Kementerian Pendidikan (MOE).

Dalam satu kenyataan pada Khamis malam, kementerian itu menyatakan 99.4 peratus daripada 39,300 murid yang menduduki PSLE tahun ini, mengambil peperiksaan bertulis subjek Inggeris semalam.

560 murid terbabit adalah dari 90 sekolah yang memenuhi keperluan ujian untuk dibenarkan keluar dari arahan kuarantin mereka untuk menduduki peperiksaan itu, dedah MOE.

“Langkah-langkah pengurusan selamat sewajarnya dipatuhi dengan ketat di sekolah-sekolah berkenaan bagi memastikan peperiksaan dijalankan dengan selamat bagi semua murid dan kakitangan,” menurut kenyataan itu.

Cik Joan Tabinas berkata anaknya pulang ke rumah “dengan gembira” kerana peperiksaan itu berlangsung lebih baik daripada yang dijangkakan.

Anak lelaki beliau dikenakan perintah kuarantin pada Sabtu selepas terdedah kepada seorang rakan sedarjah yang diuji positif COVID-19.

Menurut Cik Tabinas, anaknya diberitahu supaya sampai ke sekolah pada 7.50 pagi, lewat sedikit berbanding murid-murid lain yang bukan di bawah perintah kuarantin atau cuti ketidakhadiran kerana dia tidak dibenarkan berinteraksi bersama yang lain.

“Sebagai murid QO (perintah kuarantin), mereka ditempatkan dalam satu bilik. (Mereka) tiba pada waktu berbeza dan sebuah bilik diasingkan bagi mereka yang di bawah QO atau mereka yang tejejas oleh lonjakan kes pandemik minggu lalu,” terang Cik Tabinas.

Murid-murid itu duduk pada jarak tiga meter antara satu sama lain dan juga diberitahu supaya membawa makanan yang sudah dibungkus untuk dimakan pada waktu rehat.

Seorang lagi ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Tan memberitahu Mediacorp bahawa beliau kecewa dan “amat terkejut” dengan cara pengurusan murid yang sedang menjalani perintah kuarantin.

Anak lelakinya tidak dapat menduduki peperiksaan Inggeris kerana arahan kuarantin dikeluarkan pada Rabu pagi, hanya sehari sebelum peperiksaan bermula. Anaknya itu bagaimanapun dapat menduduki peperiksaan Matematik hari ini (1 Okt).

Mereka hanya diberi satu jam untuk membuat keputusan sama ada untuk membenarkan anak lelakinya itu menduduki peperiksaan Matematik selepas dimaklumkan tentang perintah kuarantin, kata beliau.

Keputusan PCR boleh mengambil masa sehingga 48 jam dan sekiranya dia mahu menduduki peperiksaan itu, ujian PCR seharusnya diambil secepat mungkin untuk memastikan keputusannya boleh didapati sebelum peperiksaan pada Jumaat. Demikian yang dimaklumkan kepada beliau.

“Secara keseluruhannya, saya rasa masih boleh diperbaiki (cara pengurusan),” luah Cik Tan sambil menambah bahawa anak lelakinya itu merupakan satu-satunya murid dalam kelas yang perlu menjalani perintah kuarantin lantas beliau tidak boleh mendapatkan bantuan atau panduan daripada ibu bapa yang lain.

“Ini bukan tahun pertama berlaku COVID dan PSLE diadakan. COVID melanda tahun lalu pada Mac. Tahun lalu juga ada murid yang menduduki PSLE. Ada cukup masa yang panjang antara tahun lalu dengan tahun ini untuk membuat perancangan,” tegas beliau.

Selepas dua hari tergesa-gesa buat aturan, Cik Tan akhirnya berjaya menyerahkan ujian PCR dan keputusan ART anak lelakinya pada malam sebelum kertas peperiksaan Matematik hari ini. Menurut beliau keluarganya “akhirnya boleh berehat dan makan malam.”

Tetapi setengah jam kemudian, pihak berkuasa menelefonnya lagi untuk meminta satu lagi ujian PCR dijalankan bagi anak lelakinya itu pada lewat malam.

“Hari ini, dia boleh menduduki kertas peperiksaan Matematik selepas banyak cabaran dan setelah banyak berusaha. Kami mengalami pelbagai kesulitan tetapi akhirnya dia dapat menduduki kertas itu. Tapi dia tidak dapat tidur nyenyak, dia rasa terganggu,” luah Cik Tan.

Berkaitan ⇢