Galaxy M22 tiba dengan diskaun RM120 sempena Shopee 10.10

|

views

Samsung Malaysia hari ini mengumumkan kedatangan telefon pintar Galaxy M22. Ia menampilkan skrin Super AMOLED 90Hz dengan bateri 5,000mAh yang menyokong pengecas 25W.

Telefon pintar siri Galaxy M hanya dijual dalam talian. Untuk Galaxy M22, ia akan dijual di Stor Online Samsung Malaysia mulai 5 Oktober dan Stor Rasmi Samsung Shopee mulai 3 Oktober 2021.

Harga rasmi Galaxy M22 dengan RAM 6GB dan storan 128GB telah ditetapkan pada RM899. Tetapi sempena kempen 10.10 Shopee, ia akan menerima diskaun sebanyak RM120 menjadi RM779 sahaja. Promosi ini berjalan dari 3-10 Oktober 2021 di Shopee sahaja.

Terdapat dua warna disediakan untuk pilihan Galaxy M22, antara hitam dan biru.

Spesifikasi

Sebenarnya, rupa dan spesifikasi Galaxy M22 tidak ada bezanya dengan Galaxy A22 LTE yang telah tiba lebih awal di Malaysia. Perbezaannya dilihat hanya pada pilihan warna, di mana Galaxy A22 LTE ada warna hijau, ungu dan hitam.

Telefon ini dikuasakan cip Mediatek Helio G80, bersama RAM 6GB dan storan 128GB. Kad mikroSD sehingga 1TB turut diterima untuk meluaskan storan.

Skrinnya jenis Super AMOLED 90Hz 6.4-inci dalam resolusi HD+ sahaja. Tetapi pengimbas capjarinya di sisi, bergabung dengan butang kuasa.

Untuk kamera, ia gandingan 4 kamera di belakang iaitu kamera utama 48MP OIS, kamera ultralebar 8MP, kamera makro 2MP dan kamera potret 2MP. Di hadapan, takuk kecil di atas skrin memuatkan kamera 13MP F2.2.

Bateri pula berkapasiti 5,000mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W USB-C. Tetapi Samsung memberikan kepala pengecas 15W di dalam kotak. Telefon ini tiada speaker stereo tetapi masih ada jek audio 3.5mm.

[Sumber: Samsung]

Berkaitan ⇢