COVID: Hanya 13 kes kategori tiga hingga lima direkodkan di Sabah hari ini

|

views

KOTA KINABALU  — Hanya 13 daripada 872 kes COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini adalah dalam kategori tiga hingga lima, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah tersebut, kategori tiga mencatat lima kes manakala kategori empat dan lima masing-masing empat kes.

Kategori tiga adalah mereka yang mempunyai radang paru-paru, kategori empat memerlukan bantuan oksigen manakala kategori lima memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata sejumlah 165 kes hari ini terdiri daripada kategori satu manakala 642 kes dalam kategori dua dan bakinya masih dalam siasatan lanjut.

“Kes COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini kebanyakannya adalah daripada kategori dua iaitu 73.6 peratus dan kategori satu ialah 18.9 peratus.

“Trend ini sejajar dengan pertambahan peratusan penduduk yang telah lengkap divaksin dengan 64.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima dos lengkap vaksin COVID-19,” katanya sambil menambah 1,064 kes sembuh turut dilaporkan hari ini di negeri itu manakala 3,033 pesakit masih menerima rawatan.

Berkaitan ⇢