ICU Modular, hospital medan langkah segera tangani kesesakan di Hospital Sibu

|

views

SIBU — Pembinaan Unit Rawatan Rapi (ICU) Modular dengan 10 katil di wad pesakit COVID-9 Hospital Sibu dijangka siap pada 11 Okt ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang berkata selain itu, pihaknya sedang menilai kos pembinaan hospital medan di pekarangan parkir Hospital Sibu yang mampu menempatkan 100 katil iaitu masing-masing 50 unit bagi pesakit lelaki dan wanita.

Beliau berkata pembinaan ICU Modular dan hospital medan merupakan langkah segera kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan di wad pesakit COVID-9 di Hospital Sibu.

“Apabila siap nanti, pesakit bukan COVID di wad-wad Hospital Sibu akan dipindahkan ke hospital medan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Sibu susulan laporan sebuah portal berita mengenai keadaan pesakit di situ.

Aaron berkata beliau ditugaskan untuk melihat sama ada apa yang didakwa dalam laporan portal itu benar atau tidak dan melihat sendiri apa sebenarnya berlaku di Hospital Sibu.

“Setelah melawat Hospital Sibu, apa yang dikatakan dalam portal berita itu ada kebenaran juga. Kita tidak boleh mengatakan ia tidak berlaku,” katanya.

Ahli Parlimen Kanowit itu berkata beliau dimaklumkan bahawa kakitangan Hospital Sibu bukan lagi bekerja selama lapan jam sehari tetapi 12 jam mengikut syif berikutan jumlah doktor dan jururawat yang tidak mencukupi, antaranya disebabkan ada dalam kalangan mereka dikuarantin kerana dijangkiti COVID-19.

“Kes COVID-19 banyak, di wad ICU penuh manakala wad biasa COVID bukan sahaja penuh tetapi melebihi kapasiti. Ada wad yang mampu menempatkan 28 hingga 29 katil tetapi sekarang menempatkan 40 hingga 50 katil. Ini masalah yang begitu mencabar bagi mereka.

“Jumlah tenaga kerja masih sama, sebab itu masa kerja terpaksa dipanjangkan namun saya difahamkan mereka juga masih boleh ambil cuti bagi yang betul-betul memerlukan,” katanya.

Berkaitan ⇢